--> Skip to main content

Fenomena air pasang besar diramal landa lima daerah

SABAK BERNAM: Lima daerah di negeri ini diramal dilanda fenomena air laut pasang besar bermula bulan ini sehingga November depan.

Unit Pengurusan Bencana Negeri berkata, fenomena air laut pasang besar diramal berlaku pada 19 hingga 20 September, 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November di persisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut mencecah paras 5.8 meter.

"Fenomena itu membabitkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Sekiranya hujan lebat dan angin kencang berlaku, risiko banjir akan meningkat.

"Justeru, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan," unit itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sepanjang fenomena air laut pasang besar, paras air akan meningkat antara 5.6 meter hingga 5.8 meter berdasarkan jadual air pasang surut dari Pusat Hidrografi Nasional (PHN).