--> Skip to main content

Everton tandatangani Allan

LONDON: Everton mengesahkan seorang daripada tiga pemain tengah dijangka akan ditandatangani mereka dengan kehadiran pemain antarabangsa Brazil, Allan menerusi perjanjian tiga tahun dari Napoli dengan yuran dilaporkan bernilai £22 juta (RM121.32 juta).

Pemain berusia 29 tahun itu kembali bersama bos Toffees, Carlo Ancelotti, yang pernah bekerja dengannya di kelab Serie A itu.

Everton juga semakin hampir menyatukan semula Ancelotti dengan bintang Colombia, James Rodriguez buat kali ketiga selepas bersama di Real Madrid dan Bayern Munich, manakala yuran juga dilaporkan sudah dipersetujui dengan Watford bagi mendapatkan Abdoulaye Doucoure.

Allan, yang membuat lebih 200 penampilan sepanjang lima tahun di Napoli, mengakui dia tidak boleh menolak peluang untuk bersama Ancelotti sekali lagi.

"Ia kelab yang kaya dengan sejarah dalam Liga Perdana, memiliki cita-cita sebenar dan di sana ada Professor Ancelotti. Dia melakukan apa sahaja untuk membawa saya ke sini," kata Allan kepada Everton TV.

"Ia adalah saiz kelab dan nama jurulatih yang bermakna anda tidak memikir dua kali untuk datang ke Everton." - AFP