--> Skip to main content

Duduk Rumah PPR, Penduduk Terkejut PM Sanggup Dtg Rumah. Ini Pesanan Muhyiddin Sebelum Balik

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengadakan lawatan rasmi ke negeri Sabah hari ini membabitkan beberapa jadual padat sehingga petang nanti.

Meskipun begitu, beliau masih berkesempatan singgah di dua buah rumah penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, Putatan, petang semalam.

Menerusi laman Instagram, Muhyiddin berkongsi perkara itu yang mencuri perhatian ramai.

" Saya berkesempatan singgah di dua buah rumah penduduk di PPR Taman Sri Keramat, yang mana dua daripada anggota keluarga tersebut mengalami masalah kesihatan.

" Di rumah pertama, saya bertemu dengan adik Danial Zafwan bin Sapri, kanak-kanak berusia 10 tahun yang menghidap penyakit jantung.

" Lebih menyentuh hati saya, anak pertama daripada empat adik beradik itu terpaksa menggunakan alat perentak jantung (pacemaker) bagi membantu beliau menjalani kehidupan.

" Keadaan jantung yang lemah dan bengkak menyebabkan adik Danial Zafwan mudah letih dan sukar bernafas.

" Saya sedikit lega apabila dimaklumkan oleh bapanya, Encik Sapri Liman bahawa bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN) yang disediakan kerajaan sedikit sebanyak membantu meringankan bebannya yang bertugas sebagai pemandu di sebuah agensi kerajaan dalam menyediakan keperluan perubatan anaknya itu.

" Dari situ, saya bergerak menyertai majlis ramah mesra bersama penduduk setempat dan penghuni PPR itu.

" Saya yakin rakyat Sabah melihat apa yang sedang kerajaan PN laksanakan dan tahu apa yang mereka perlukan terutamanya dalam aspek meningkatkan kemudahan dan keperluan asas rakyat di negeri itu.

" Bagi tujuan itu, pihak Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah telah diarahkan untuk mengenal pasti sebarang keperluan bagi membantu rakyat Sabah dan saya sedaya upaya akan mengusahakan agar perkara tersebut dipenuhi." tulis kenyataan di Intagram Muhyiddin Yassin.

Pesanan PM kepada penduduk

Sementara itu, bapa kepada kanak-kanak, Daniel sempat ditanya perasaannya sebaik menerima kunjungan Muhyiddin.

Safri berkata beliau sekeluarga tidak menyangka Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sanggup datang ke rumah mereka yang terletak di PPR untuk mengunjungi anaknya Daniel Zafwan, 10, yang menghidap austisme dan bergantung hidup kepada bateri.

" Perdana Menteri berpesan supaya kami menjaga Daniel baik-baik.

" Beliau juga bertanya khabar dan meninjau keadaan rumah kami," kata bapa kepada kanak-kanak istimewa, Safri Leman, 44.

Safri berkata, sebagai seorang bapa dan ketua keluarga dirinya terharu apabila seorang pemimpin utama negara yang disegani ramai berkunjung ke rumahnya.

Sering dikenali sebagai 'abah' oleh rakyat Malaysia, Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 15 minit di rumah keluarga Safri.

Bercerita lanjut mengenai penyakit yang dihidap anaknya itu, Safri menyatakan anak sulung dari empat beradik itu disahkan menghidap jantung berlubang pada usia dua tahun sebelum menjalani pembedahan di India pada 2012.

Bagaimanapun, satu lagi pembedahan terpaksa dilakukan pada 2017 selepas jantung Daniel didapati terhenti hingga terpaksa menggunakan bateri yang perlu diganti setiap 10 tahun sekali.