--> Skip to main content

Dua maut, tiga cedera kemalangan motosikal

PEKAN: Dua maut, tiga lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Kilometer 4 Jalan Chini/Kuantan, di sini, malam tadi.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Muhammad Firdaus Mohd Yusof, 18 dari FELDA Chini 5, dan Zakwan Muhammad, 24 dari FELDA Chini Timur 1, meninggal dunia di tempat kejadian

Tiga yang cedera ialah Saiful Shafinaz Mohamad, 30 serta dua pelajar tingkatan empat Muhammad Hakimi Hashim, 16 dan Muhammad Mahfuz Mazlan, 16.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku membabitkan empat motosikal pada 10.15 malam.

Katanya, tiga motosikal, masing-masing ditunggangi Muhammad Firdaus, Muhammad Hakimi dan Muhammad Mahfuz dalam perjalanan dari arah Felda Chini Timur menghala ke Felda Chini.

"Manakala Zakwan yang menunggang motosikal bersama Saiful Shafinaz dari Felda Chini menghala ke Felda Chini Timur.

"Setibanya di tempat kejadian, dipercayai motosikal yang ditunggang Muhammad Firdaus memasuki ke laluan bertentangan ketika sedang memotong Muhammad Mahfuz sebelum bertembung dengan motosikal Zakwan yang datang dari arah hadapan.

"Muhammad Hakimi yang berada di belakang Muhammad Firdaus tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa manakala Muhammad Mahfuz terbabas ke kiri ketika cuba mengelak.

"Berikutan itu, Muhammad Firdaus dan Zakwan meninggal dunia di tempat kejadian manakala Muhammad Mahfuz dan Saiful Shafinaz dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan manakala Muhammad Hakimi hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Razli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.