--> Skip to main content

Djokovic hampir jadi mangsa kejutan Terbuka AS

NEW YORK: Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) tetapi pilihan utama wanita Karolina Pliskova tersingkir.

Djokovic melebarkan rekod tanpa kalah tahun ini kepada 25 perlawanan manakala Pliskova dikejutkan oleh pemain Perancis Caroline Garcia, pemain nombor 50 dunia dengan straight set.

Pemain nombor satu, Djokovic juga hampir menjadi mangsa kejutan apabila tewas set pertama kepada Kyle Edmund dari Britain tetapi bangkit untuk kemenangan (5/7), 6-3, 6-4, 6-2 di Stadium Arthur Ashe Stadium, Flushing Meadows yang kosong tanpa penonton.

"Saya gembira dapat mengharungi perlawanan pertama yang sukar kerana ia lebih baik buat saya untuk menghadapi baki saingan," kata Djokovic.

Bintang Serbia itu dalam pemburuan merapatkan jurang dengan Roger Federer dan Rafael Nadal - kedua-duanya tidak menyertai kejohanan kali ini - dalam rekod gelaran Grand Slam perseorangan lelaki sepanjang zaman.

Pemain berusia 33 tahun itu - yang memenangi gelaran Terbuka Australia kelapannya Februari lalu - kini mengumpul 17 gelaran, dengan Nadal 19 dan Federer 20.

Pliskova - pemain nombor tiga dunia berusia 28 tahun dari Republik Czech - tewas 1-6, 6-7 di tangan Garcia yang mendahului 5-0 di set pertama.

Dia menafikan kekalahannya berpunca daripada tekanan akibat perubahan undian susulan ketiadaan beberapa pemain ranking tertinggi.

"Tidak, tiada tekanan daripadanya ke atas saya. Ia tidak kena mengena dengan kekalahan hari ini," kata Pliskova.

- AFP