--> Skip to main content

Dia Terlalu Memilih

Jika sebelum ini tular kisah seorang pemuda di Terengganu mencari calon isteri dengan menampal iklan di tiang eletrik di tepi jalan, lain pula caranya dengan seorang lelaki ini.

Matlamat sama, cuma kreativiti saja berbeza dan hasilnya Muhammad Naquib Hasief Baharin, menerima lebih 200 'permohonan' untuk menjadi calon isteri.

Naquib, 26, tular apabila menawarkan jawatan kosong 'pengantin wanita' dengan memuat naik 'resume' serta kriteria bagi mencari wanita pilihan hatinya di Twitter, Ahad lalu.

Doktor siswazah yang sedang menjalani latihan perubatan (houseman) di Hospital Sultanah Aminah, Johor itu berkata, ramai wanita menghubunginya menerusi mesej peribadi (DM) di Instagram namun mengakui dia belum sempat membalasnya.

" Setakat hari ini, saya menerima lebih 200 mesej daripada wanita hingga membuatkan telefon bimbit saya mengalami gangguan.

" Mungkin saya memerlukan lebih masa untuk membalasnya. Namun jika ada mesej yang terlepas pandang, saya mohon maaf," katanya kepada Harian Metro.

Rupa paras bukan utama, tetapi..

Katanya, dia akan membuat pemilihan berdasarkan kriteria, keserasian serta gerak hatinya selain mendapat restu keluarga.

" Rupa paras bukanlah keutamaan saya, yang penting wanita itu berpendidikan, sopan, pandai membawa dan menjaga diri selain serasi dengan keluarga saya.

" Sebenarnya, bukanlah niat mahu menjatuhkan maruah atau mempermainkan perasaan kaum hawa dengan cara macam ini.

" Saya cuma mencuba nasib dan serius mencari calon isteri kerana mungkin sudah tiba masanya.

" Walaupun begitu, saya serahkan segala-galanya kepada Allah dan 'follow the flow' kerana perlu mengenali hati budi masing-masing terlebih dulu," katanya.

Muhammad Naquib yang menetap di Skudai berkata, apa yang dilakukannya bukan kerana terdesak atau disebabkan desakan mana-mana pihak namun ia berlaku secara tidak dirancang.

" Saya tak pernah terfikir buat macam ini, semua berlaku secara spontan. Saya rasa tidak salah mencuba lagipun memang saya masih solo.

" 'Resume' yang menceritakan perihal diri itu sebenarnya saya buat sekadar suka-suka untuk 'presentation' kelas Continuous Medical Education yang dihadiri di Kuala Lumpur.

" Kebetulan waktu itu saya tidak membawa komputer riba membuatkan saya memuat naik aplikasi di telefon bimbit untuk melakukan tugasan itu sebelum timbul idea mencari calon isteri dan memuat naiknya di Twitter.

" Tidak sangka perkongsian saya itu menarik perhatian ramai dan reaksi warganet malah mendapat sokongan keluarga membuatkan saya nekad meneruskan misi ini," katanya.

Bukan memilih, rupanya Naquib sebelum ini bersekolah di sekolah lelaki

Sementara itu menerusi hantaran terbaru Naquib, beliau mengatakan twit berkenaan 'jawatan kosong pengantin wanita' itu sudah pun dipadam.

Naquib mendakwa terdapat ramai juga respon neg4tif diterima dan tidak mahu orang ramai menjadi 'toxic' kerana twitnya sebelum ini.

" Haritu, aku ada jugak lah tweet, 'budak sekolah aku jangan mengada nak dm'. Pastu ada orang reply tweet aku kata aku single sebab aku memilih sangat.

" Tapi dia tak tahu aku dulu sekolah semua lelaki. Takpelah aku delete dah pun tweet tu." tulis Naquib