--> Skip to main content

Cukup 11 tahun wakil negara

PETALING JAYA: Atlet tenpin boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi tidak menyesal biarpun membuat keputusan meninggalkan skuad kebangsaan selepas 11 tahun mewakili negara.

Syaidatul Afifah, 29, berkata dia mahu fokus kepada kerjaya yang lebih menjamin masa depan.

"Keputusan ini untuk menentukan hala tuju hidup saya. Saya tidak cakap sukan boling tidak ada masa depan tapi cukup untuk setakat 11 tahun. Daripada sukan boling orang kenal saya.

"Sudah tiba masa saya memikirkan mengenai kerjaya yang lebih stabil. Luar sana tempat yang lebih menjamin masa depan saya. Saya berani untuk cuba banyak bidang.

"Jika sebelum ini saya dapat tawaran kerja tapi disebabkan komitmen sebagai atlet kebangsaan dan negara, saya ambil keputusan untuk tolak tawaran berkenaan kerana terikat dengan latihan," katanya ketika sidang media hari ini.

Katanya, niat untuk meninggalkan pasukan kebangsaan timbul sejak tahun lalu lagi, namun keputusan drastik itu hanya dimuktamadkan selepas perbincangan bersama keluarga baru-baru ini.

Antara pencapaian terbaik Syaidatul Afifah adalah memenangi pingat emas berpasangan wanita Kejohanan Asia 2015 di Bangkok, pingat emas berpasukan wanita Kejohanan Boling Dunia 2017 di Las Vegas dan pingat emas trio berpasukan wanita Sukan Asia 2018 di Palembang.

"Boling sebahagian daripada hidup saya, jadi saya tidak bersara 100 peratus. Saya akan tetap bermain boling sebagai pemain profesional jika ada kejohanan terbuka. Mungkin selepas ini saya akan menjadi jurulatih di peringkat akar umbi," katanya.