--> Skip to main content

COVID-19: WHO tidak jangkakan vaksin hingga pertengahan 2021

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan, pihaknya tidak menjangkakan penghasilan imunisasi yang meluas terhadap COVID-19 hinggalah pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun, jangkaan kian meningkat di Amerika Syarikat (AS), iaitu negara paling terkesan dengan pandemik berkenaan, bahawa vaksin terbabit dapat dikeluarkan dalam tempoh beberapa minggu lagi.

WHO turut menegaskan, pihaknya tidak akan menyokong vaksin yang belum terbukti selamat dan berkesan, seiring kebimbangan terhadap tindakan menghasilkan suntikan berkenaan secara tergesa-gesa.

Wabak itu sudah meragut hampir 870,000 nyawa dan menjangkiti lebih 26 juta mangsa di seluruh dunia, selain menjejaskan kehidupan jutaan orang serta memporak-perandakan ekonomi global.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyambut baik laporan bahawa sebilangan usaha menghasilkan vaksin berkenaan sudah memasuki ujian peringkat akhir yang lazimnya membabitkan puluhan ribu orang.

Namun jurucakap WHO, Margaret Harris, menjelaskan dengan mengambil kira garis masa realistik, pihaknya betul-betul tidak menjangkakan vaksin meluas hingga pertengahan tahun depan.

Russia sudah meluluskan satu vaksin, dan penyelidikan diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, semalam, menyatakan bahawa pesakit terbabit dalam ujian awal berjaya menghasilkan antibodi 'tanpa kejadian buruk yang serius'.

Bagaimanapun, saintis memberi amaran bahawa ujian itu terlalu kecil, iaitu hanya membabitkan 76 peserta, bagi membuktikan keselamatan dan keberkesanannya.

Dalam pada itu, Washington pula mendesak negeri di AS supaya bersedia dengan potensi pengeluaran vaksin menjelang 1 November depan, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump tergesa-gesa untuk mula mengagihkannya sebelum pilihan raya pada 3 November.

AS bergelut dengan jumlah kematian dan jangkitan tertinggi COVID-19 di dunia, setakat ini.

Mengikut prosedur normal, pihak pentadbir ujian mesti menunggu selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun untuk mengesahkan bahawa 'calon' vaksin itu adalah selamat dan berkesan. - AFP