--> Skip to main content

COVID-19: Tanah perkuburan padat, kes kematian meningkat

JAKARTA: Tanah perkuburan di Pondok Ranggon Jakarta Timur dijangka berdepan situasi kritikal menjelang Oktober depan berikutan kehabisan ruang bagi urusan pengebumian selepas kes kematian COVID-19 terus mencatatkan peningkatan.

Pegawai pengurusan di kawasan tanah perkuburan berkenaan, Nadi berkata, cuma 1,100 ruang masih ada bagi menempatkan jenazah di lokasi berkeluasan 7,000 meter persegi itu.

"Kapasitinya dijangka akan menjadi kritikal pada pertengahan Oktober ini," katanya sebagaimana dilaporkan kompas.com.

Dianggarkan, pada bulan depan, tanah perkuburan itu hanya mampu menempatkan 380 hingga 400 jenazah.

Menurutnya, secara purata 700 jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Pondok Ranggon sebulan. Pada Ogos purata 27 mayat dikebumikan di kawasan itu setiap hari.

"Pada 31 Ogos lalu, jumlah jenazah yang dikebumikan adalah 36 orang iaitu yang tertinggi pernah direkodkan.

"Sejak Pondok Ranggon dijadikan pusat pengebumian bagi kes COVID-19 bermula Mac, pihak berkuasa telah membuka lapan lot baharu dan menguruskan 2,623 jenazah.

"Kami menggunakan plot bernombor 91 hingga 99 (bagi pengebumian kes COVID-19), kecuali plot 97 bagi urusan pengebumian orang awam," katanya.

Beliau turut berkata, setiap plot boleh menempatkan 240 hingga 300 jenazah.

Nadi turut memaklumkan, setakat ini, pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan berkaitan situasi kritikal yang mungkin berlaku pada Oktober nanti.

Beliau cuma berharap, kes COVID-19 dan jumlah kematian akan kembali mencatatkan penurunan. - Agensi