--> Skip to main content

COVID-19: Kes jangkitan semakin menurun di Arab Saudi

RIYADH: Arab Saudi pada Sabtu melaporkan 791 kes jangkitan baharu COVID-19, berbanding 822 kes pada Jumaat.

Negara itu turut merekodkan 779 kes pulih pada Sabtu dengan 34 kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, menurut Kementerian Kesihatan.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Dr Muhammad Al-Abdel Ali, berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes di negara berkenaan adalah 319,932 kes dan jumlah yang pulih meningkat kepada 295,842 kes.

Setakat ini, 4,049 kes kematian dilaporkan sejak virus itu dikesan di negara berkenaan.

Terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah kes di Jeddah pada Sabtu dengan 65 jangkitan baharu berbanding 48 kes pada Jumaat.

Ia diikuti 64 kes di Madinah, Dammam (46), Hufof (44), Riyadh (38), Al-Mobarraz (31) dan Makkah (31), Qatif (27), Yanbu (24) dan 20 kes di Jubail.

Arab Saudi mencatatkan kenaikan harian tertinggi pada 19 Jun apabila 4,301 kes disahkan dalam tempoh 24 jam. Sejak itu, jumlah kes jangkitan baharu menurun sehingga di bawah 1,000 kes.

Pada Khamis, Saudia Airlines mengumumkan garis panduan COVID-19 dan syarat baharu untuk pelancong yang tiba di Arab Saudi di tengah wabak COVID-19, walaupun penangguhan penerbangan antarabangsa terus berlanjutan. - Agensi