--> Skip to main content

Covid-19: Kembali satu digit hari ini

Kuala Lumpur: Jangkitan baharu Covid-19 negara ini kembali kepada satu digit hari ini apabila hanya merekodkan enam kes baharu berbanding semalam dengan 11 kes.

Ia menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu kepada 9,391 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kes baharu yang dilaporkan membabitkan penularan tempatan manakala empat lagi kes import mendapat jangkitan di luar negara.

Menurutnya, empat kes adalah dalam kalangan warganegara Malaysia dan dua kes bukan warganegara.

"Empat kes import itu dari Pakistan, Angola, India dan Bangladesh yang kesemuanya dilaporkan di Kuala Lumpur.

"Kes penularan tempatan pula membabitkan satu kes daripada Kluster Telaga dan satu kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Lahad Datu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 21 kes pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 9,113 kes iaitu 97 peratus.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ketika ini adalah 150 kes.

"Lima daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan tiga memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Tambah beliau, tiada kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 128 kes.