--> Skip to main content

COVID-19: Anggota barisan hadapan dinasihatkan berwaspada elak jangkitan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menasihati anggota barisan hadapan sama ada dalam sektor kesihatan mahupun keselamatan, supaya terus berwaspada bagi mengelakkan jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penularan virus itu boleh berlaku tanpa mengira individu, tempat dan masa.

Justeru, beliau menegaskan, anggota barisan hadapan perlu mematuhi garis panduan dan tatacara ditetapkan kerajaan ketika menguruskan kes positif COVID-19 secara langsung atau tidak langsung.

"Ini termasuk kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, memakai pakaian perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian dan mengamalkan penjarakan fizikal, termasuk di tempat guna sama.

"Prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan perlu dipatuhi sepanjang masa. Sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tanggungjawab sebagai barisan hadapan bukan hanya terletak pada anggota kesihatan tetapi juga orang ramai, komuniti, dan semua individu.

"Oleh itu, kejayaan negara dalam menangani pandemik COVID-19 pasca gelombang kedua ini terletak pada kepatuhan anggota kesihatan serta keselamatan terhadap garis panduan dan tatacara, serta rakyat mematuhi SOP yang dikeluarkan.

"Hanya dengan kepatuhan ini, kita dapat mengekalkan keselamatan negara daripada ancaman COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jun lalu, Dr Noor Hisham memaklumkan, 416 kakitangan Kementerian Kesihatan dijangkiti COVID-19, dengan 80 peratus mendapatnya dari luar dan bukan ketika menjalankan tugas.