--> Skip to main content

COVID-19: 76 negara mewah komited sertai pelan COVAX

LONDON: Sebanyak 76 negara kaya kini komited untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global diketuai bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyasarkan untuk membantu pembelian dan edaran bekalan yang lebih bersifat adil.

Ketua Eksekutif Pakatan Vaksin Global (GAVI) yang juga ketua projek, Seth Berkley, berkata pelan penyelarasan itu dikenali sebagai COVAX kini disertai Jepun, Jerman, Norway dan lebih 70 negara lain yang bersetuju secara prinsip bagi mendapatkan vaksin COVID-19 untuk rakyat mereka.

"Sehingga kini, kami mempunyai 76 negara berpendapatan tinggi dan sederhana yang sudah mengesahkan niat mereka untuk turut serta dan kami jangkakan bilangan itu akan meningkat.

"Ini adalah berita baik yang menunjukkan bahawa pelan COVAX dibuka kepada perniagaan dan menarik minat tersendiri di seluruh dunia yang memang kami harapkan," katanya dalam sesi temuramah.

Pada masa sama, Berkley berkata, pihak penyelaras COVAX juga sedang mengadakan rundingan dengan China sama ada negara itu turut sama ingin menyertai pelan terbabit.

"Kami sudah berbincang semalam dengan kerajaan China... walaupun kami belum menandatangani sebarang perjanjian bersama mereka sehingga kini, namun Beijing memberikan isyarat positif," katanya.

Pelan COVAX yang turut diketuai oleh GAVI, WHO dan Gabungan bagi Inovasi Persediaan Epidemik (CEPI), dibentuk bagi mencegah negara daripada membolot vaksin COVID-19 di pasaran, selain memfokuskan untuk mengutamakan vaksin kepada golongan berisiko tinggi.

Penyokong pelan ini berkata, strategi terbabit berupaya menurunkan lagi kos vaksin untuk setiap orang, sekali gus mengakhiri pandemik yang meragut 860,000 nyawa di seluruh dunia.

Berkley berkata, negara kaya yang menyertai COVAX akan membiayai pembelian vaksin daripada peruntukkan kerajaan masing-masing dan akan menjadi rakan kongsi bagi 92 negara miskin melalui sumbangan sukarela bagi memastikan ia diagihkan secara adil.

Negara kaya yang menyertai pelan ini juga boleh mendapatkan vaksin melalui perjanjian dua hala dan pelan lain.

Amerika Syarikat (AS) pada Selasa lalu bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan menyertai pelan COVAX berikutan bantahan pentadbiran Presiden Donald Trump terhadap pembabitan WHO yang digambarkan sebagai mengecewakan oleh pengkritik.

Berkley berkata, pihaknya tidak terkejut dengan keputusan AS itu, namun akan terus mengadakan rundingan bersama Washington. - AGENSI