--> Skip to main content

Cemar sumber air ibarat sabotaj negara

DALAM usaha meningkatkan daya tahan sektor bekalan air, kita masih bergelut perkara paling asas iaitu kualiti sumber bekalan air mentah.

Tindakan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 3 dan Rantau Panjang sejak Khamis lalu, seakan mengulang kembali tiga episod pencemaran antara 17 Mac hingga 17 April lalu.

Ironinya, pencemaran sisa berasaskan bahan pelarut yang datang dari premis perindustrian di Sungai Gong kali ini, seakan menyamai dengan insiden Mac lalu. Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemui bau seperti pelarut dalam Sungai Gong dipercayai dari kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Rawang.

Sungai Selangor membekalkan 60 peratus air mentah untuk Lembah Klang semakin kritikal dengan henti tugas LRA kali ketiga tahun ini.

Insiden kali ini menjejaskan 1,292 kawasan dengan anggaran lima juta pengguna di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Siasatan LUAS mendapati pencemaran berpunca dari kilang menyelenggara mesin dan jentera di Sungai Gong yang gagal melakukan penstoran sisa minyak buangan dengan sempurna.

Lebih memeranjatkan, premis itu pernah dikompaun RM60,000 atas kesalahan sama sebelum ini.

Jelas, nilai denda terbukti tidak berhasil memberi kesedaran terhadap pesalah. Sewajarnya, hukuman lebih keras dikenakan serta pesalah dianggap melakukan sabotaj terhadap negara.

Justeru, perlu ada hukuman khusus bagi kesalahan berulang seperti sita dan tutup premis.

Bagi pemilik premis, tindakan pencegahan lebih agresif diperlukan seperti denda maksimum, penjara mandatori dan sebatan. Industri disyaki juga perlu diarah pindah atas faktor risiko terhadap bekalan air pada masa hadapan.

Syarat competent person sebagai individu dalam industri yang pakar dan bertanggungjawab memastikan pengurusan sisa mengikut undang-undang, perlu dikaji semula. Adalah jelas premis yang terbabit insiden ini gagal dalam pendekatan pematuhan kendiri.

Inilah pilihan yang ada untuk pihak berkuasa, selain menaik taraf LRA kerana rawatan sedia ada tidak dapat merawat bahan kimia solvent. Namun, pilihan ini memakan masa serta kos lebih tinggi selain terdapat kemungkinan selepas rawatan, pencemaran bau semakin kuat.

Penguatkuasaan perlu lebih proaktif memandangkan beban pembuktian sering tidak memihak kepada pihak berkuasa. Sehubungan itu, perlu diwujudkan perundangan yang mana pelaku boleh dikenakan tindakan atas alasan menyebabkan LRA ditutup.

Tindakan melepaskan air dari kolam HORAS 600 dan empangan bagi mencairkan bahan pencemaran yang terdapat di Sungai Selangor tidak banyak membantu. Sebaliknya, kerajaan negeri disaran melaksanakan pemutihan kawasan dengan memindahkan industri berisiko ke luar kawasan lembangan Sungai Selangor.

Insiden ini jelas menunjukkan idea bagi empangan dan kawasan tadahan dialihkan ke kawasan hilir, tidak praktikal selagi pihak industri tidak prihatin memastikan sungai tidak tercemar.

Hasrat kerajaan negeri menjadikan Sungai Klang sebagai pilihan bekalan air mentah tidak akan menyelesaikan masalah utama, iaitu pencemaran berpunca aktiviti perindustrian. Lebih banyak industri berpotensi mencemar terdapat di sepanjang Sungai Klang.

Sesetengah pemilik industri, lebih rela membayar denda berbanding menyediakan rawatan sepatutnya terhadap sisa masing-masing. Natijah tindakan tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kerugian lebih besar kepada semua orang kecuali pemilik terbabit.

Rekod buruk pihak industri di sepanjang sungai di Malaysia harus menjadi pengajaran dalam memastikan keberkesanan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) yang dilaksanakan negara.

Hasrat memperbanyakkan jumlah simpanan air seharusnya seiring mengekalkan mutu air mentah untuk perbekalan ke LRA.

Tempoh amat singkat bermula LRA dihenti tugas dengan terputus bekalan air di rumah pengguna amat menghairankan. Mengambil contoh kesiapsiagaan bekalan elektrik serta stok penimbal bekalan beras negara, sesuatu harus difikirkan sebagai simpanan masa kecemasan bekalan air.

Dalam memastikan insiden sama tidak berulang, harus tiada lagi tolak ansur demi menjamin kecukupan serta keselamatan bekalan air.

Semua pihak perlu bekerjasama memastikan gangguan bekalan, sama ada berjadual atau sebaliknya, tidak mengganggu aktiviti harian pengguna.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia