--> Skip to main content

Cedok Air Tepi Jalan, Tindakan Pekerja Restoran Ini Buatkan Orang Ramai Curiga

SEJAK beberapa hari lalu, sebahagian kawasan di Lembah Klang dan Selangor mengalami gangguan bekalan air ekoran pencemaran minyak dari sebuah kilang.

Jika disoroti di laman sosial, kebanyakan pelayar meluahkan rasa kecewa dan merungut kerana gangguan itu menyulitkan aktiviti seharian.

Selain memborong air minuman dari pasar raya, ada yang terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga ataupun rakan yang tinggal di kawasan yang tidak terjejas sepanjang beberapa hari gangguan berlaku.

Di tengah-tengah kekecohan isu gangguan bekalan air tersebut, tular pula sebuah klip video memaparkan seorang lelaki dipercayai pekerja sebuah restoran sedang mencedok air hujan yang bertakung di atas jalan bersebelahan premsinya.

Menerusi klip video berdurasi 1 minit itu, lelaki berkenaan dilihat memakai apron dan mencedok air sambil memasukkannya ke dalam sebuah bekas, tanpa menyedari tindakannya dirakam.

Video yang dimuatnaik oleh pengguna Twitter bernama @Duurianne pada Sabtu itu sehingga kini meraih 2,600 retweet. Gambar

Video yang dimuat naik oleh seorang pelayar Twitter menjadi tular dengan ramai netizen menyuarakan kebimbangan mereka.

"I don't know which restaurant is this. Good luck to their customers (Saya tak tahu restoran mana. Semoga berjaya untuk pelanggan mereka)," demikian tulis kapsyen video berkenaan.

Tidak dapat dipastikan lokasi restoran berkenaan, namun rata-rata netizen mengaitkan dengan situasi gangguan bekalan air yang melanda beberapa kawasan di sekitar Selangor dan Lembah Klang ketika ini.

Sungguhpun tidak dapat dipastikan tujuan sebenar kegunaan air yang dicedok pekerja berkenaan, namun netizen melahirkan kebimbangan berhubung kebersihan, apatah lagi sekiranya ia digunakan untuk memasak ataupun penyediaan hidangan.

Antara komen netizen terhadap perkongsian video berkenaan.

"Ini kalau minum, automatik jadi tikus jadian," komen seorang netizen.

"Basuh pinggan pun takkan pakai air hujan dah lopak atas jalan.

Kalau tadah tak apa lagi," komen yang lain pula.

"Saya harap air itu digunakan untuk mencuci tandas," tulis seorang lagi netizen.

Malah ada juga netizen yang turut tag akaun Twitter Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat insiden tersebut kerana bimbang ia bakal memudaratkan pelanggan.

Insiden pekerja sebuah restoran yang mencuci pinggan mangkuk menggunakan air lopak pernah mencetuskan kekecohan dua tahun lalu.

I dunno which restaurant is this. Good luck to their customers. pic.twitter.com/lOe3p6IOSx

— Kahöööna🤙 (@Duurianne) September 5, 2020

Sebelum ini, netizen dikejutkan dengan satu rakaman memperlihatkan beberapa pekerja sebuah restoran mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan di belakang sebuah premis.

Susulan itu, restoran yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur itu diarahkan tutup serta merta untuk satu tempoh yang tertentu, malah KKM pula mengeluarkan tiga notis kesalahan terhadap restoran berkenaan.

Sumber : Mstar