--> Skip to main content

Calon Demokrat tak percaya vaksin COVID-19 siap sebelum November

WASHINGTON: Calon Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris pada Sabtu menegaskan beliau tidak akan mempercayai jaminan keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump jika ia tersedia sebelum pilihan raya pada November ini.

Trump ketika ini berdepan tekanan untuk mengawal penularan wabak itu yang memberi kesan terhadap peluangnya untuk menang pilihan raya, dan mencetuskan kebimbangan pentadbirannya akan menggesa kajian vaksin supaya ia selaras dengan tempoh waktu politiknya.

"Saya tidak akan percaya Trump dan sebarang jaminan keberkesanan dan kemampuan (vaksin) perlu datang daripada sumber yang boleh dipercayai. Saya tidak akan percaya kata-katanya," kata Harris kepada CNN.

Virus yang sudah meragut lebih 188,000 nyawa dan menjejaskan ekonomi terbesar dunia itu, menjadi antara isu utama menjelang pilihan raya pada 3 November nanti.

Minggu ini, media melaporkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS meminta semua negeri mengetepikan segala bentuk birokrasi yang akan mengganggu 'operasi jaringan pusat pengagihan vaksin menjelang 1 November 2020'.

Pentadbiran Makanan dan Perubatan AS turut membayangkan kemungkinan vaksin itu diberikan kelulusan kecemasan sebelum fasa ujian berakhir.

Trump turut membayangkan kemungkinan itu di hadapan penyokongnya pada Konvensyen Kebangsaan Republikan minggu lalu, apabila mengatakan AS 'akan menghasilkan vaksin sebelum akhir tahun ini atau lebih awal.'

Bagaimanapun, pakar penyakit berjangkit negara itu, Anthony Fauci, Khamis lalu dilaporkan berkata, keputusan awal ujian vaksin itu hanya akan diperoleh pada November atau Disember, dan kemungkinan vaksin itu tersedia pada Oktober adalah 'tidak mungkin'. - AFP