--> Skip to main content

CAKE sedia bantu penduduk Lembah Klang saman pemilik kilang

Alor Setar: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) bersedia untuk membantu penduduk Lembah Klang memfailkan saman terhadap pemilik kilang yang menyebabkan pencemaran sumber bekalan air.

Setiausahanya, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penduduk sekitar Lembah Klang menerusi Facebook CAKE dan panggilan telefon berhubung isu pencemaran air itu sejak Jumaat lalu.

"Ada yang menghubungi saya dari Setia Alam dan Denai Alam, paling ramai penduduk kongsi menerusi Facebook CAKE.

"Rata-rata mereka menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan pencemaran yang dilakukan oleh kilang terbabit sehingga menyebabkan pengguna terputus bekalan air," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Rentetan aduan itu, Mohd Yusrizal berkata, pihaknya menghubungi peguam untuk mendapatkan khidmat nasihat guaman dan bersedia untuk mewakili pengguna di kawasan berkenaan.

Katanya, tindakan itu demi memantapkan kuasa pengguna serta kesejahteraan masyarakat dalam negara.

"Walaupun CAKE adalah pertubuhan di peringkat negeri Kedah tetapi persatuan ini juga berperanan untuk membela dan menjaga hak-hak pengguna dalam negara.

"Antara lapan hak pengguna adalah untuk mendapatkan keperluan asas serta hak untuk mendapatkan persekitaran yang sihat dan selamat, hak inilah yang diperjuangkan CAKE dalam negara ini, selain itu kita memang sudah ada pengalaman menyelesaikan kes pengguna di luar Kedah," katanya.

Sebanyak 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lalu berikutan berlaku pencemaran air mentah di kawasan Sungai Gong.

Sebelum ini, media melaporkan CAKE mewakili penduduk dan peniaga yang terjejas akibat Kluster Sivagangga memfailkan saman sivil ke atas pemilik Restoran Salleh di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi menuntut ganti rugi lebih RM1.5 juta susulan penularan Covid-19 di negeri ini sejak 28 Julai lalu.