--> Skip to main content

Beli kelab bola sepak labur atau lebur?

Apakah syarikat gergasi Malaysia berminat membeli dan memiliki kelab bola sepak dalam isu penswastaan daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC)?

Apakah ahli perniagaan dan jutawan memiliki keberanian berdepan risiko labur atau lebur ini?

Mungkin banyak syarikat dan ahli perniagaan berkemampuan, tetapi iklan penswastaan serta tawaran pemilikan tidak menarik minat kerana berdepan 'krisis keyakinan'.

Keyakinan prestasi industri bola sepak di negara ini begitu rendah dan bagaikan tiada kesudahan sejak era semi-profesional penghujung 1980-an.

Bercakap soal pemilikan dan pembelian kelab, banyak perkara perlu diperhalusi. Ahli perniagaan tentu akan melihat berapakah jumlah perlu dilaburkan, pulangan serta tempoh matang pelaburan. Paling ditakuti, labur menjadi lebur.

Bagaimanapun, wajar dikongsikan bagaimana kelab bola sepak khususnya di Eropah membuat keuntungan menerusi sukan ini. Ramai pencinta bola sepak mungkin mengetahuinya, tetapi tidak secara terperinci.

Sumber pendapatan inilah digunakan untuk menampung gaji tinggi pemain yang dibayar setiap minggu atau dua kali seminggu.

Pelbagai stesen televisyen dalam dan luar negara melakukan bidaan untuk menayangkan siaran langsung kepada jutaan hingga ratusan juta peminat. Hak penyiaran Liga Perdana Inggeris (EPL) diperoleh Sky Sports dan BT Sports dengan pelaburan £5 bilion (RM27.8 bilion) bagi tempoh empat tahun (2015 hingga 2019).

Ia akan dibahagikan sama rata kepada semua kelab utama EPL, sekali gus memberi pendapatan kira-kira £81 juta (RM450 juta) atau lebih kurang RM12 juta setahun. Itu pendapatan dalam United Kingdom (UK) sahaja.

Di China, kira-kira 20 stesen televisyen memegang hak penyiaran, tidak termasuk lebih 100 syarikat penyiaran memegang hak penyiaran EPL di seluruh dunia dan perlu membayar jumlah bidaan agak besar.

Apakah kelab bola sepak tanah air nanti - selepas konsep penswastaan - akan konsisten mendapat bayaran hak penyiaran sebesar ini atau paling tidak dalam jumlah melegakan? Soalnya, siapakah yang mahu membida hak penyiaran Liga Malaysia?

Ikon syarikat penerbangan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pernah menjadi pemilik utama memegang 66 peratus ekuiti pasukan Queen Park Rangers dalam EPL yang kini turun beraksi di Divisyen 1 dan menjual ekuitinya pada 2018.

Tan Sri Vincent Tan daripada Berjaya Group masih pemilik tunggal kelab Cardiff City yang kini turun beraksi dalam Liga Kejuaraan Inggeris, selain pemilik tunggal kelab Divisyen 1 Belgium, KV Kortrijk. Apakah pelaburan itu menguntungkan atau tidak, hanya mereka dapat berkongsinya.

Pasukan EPL bermain di gelanggang sendiri, dapat menjual tiket perlawanan secara bermusim dan sebahagian kecil di pintu masuk stadium. Kapasiti stadium dan jumlah jualan tiket menggambarkan pendapatan setiap perlawanan daripada 19 perlawanan di gelanggang sendiri bagi setiap musim tidak termasuk Piala FA dan aksi lain.

Stadium Old Trafford berkapasiti 74,994 dengan harga tiket antara termahal, iaitu £95.5 (RM531). Penyokong tidak mahu ketinggalan menyaksikan setiap perlawanan di stadium, bukan dari rumah dengan menonton televisyen.

Sesuatu jenama sanggup membayar jumlah besar dalam bentuk visibiliti atau bebolehlihatan ke seluruh dunia selaras objektif korporatnya. Chevrolet membayar Manchester United (MU) kira-kira £50 juta (RM278 juta) untuk logo dan nama di jersi, manakala Adidas membayar £75 juta (RM417 juta) setahun untuk 'kits'.

Begitu juga pasukan seperti Liverpool dengan Standard Chartered; Arsenal (Emirates) dan Mancester City (Etihad). Itu hanya pendapatan daripada penaja utama atau gelaran tidak termasuk hak menamakan stadium seperti Stadium Emirates untuk Arsenal dan Stadium Etihad (Manchester City).

Kelab bola sepak terkemuka juga menjana pendapatan daripada jualan pelbagai produk pasukan atau kits kepada peminat dan penyokong seluruh dunia termasuk dalam talian. Ia juga dijual di pekarangan stadium dan kelab turut mempunyai outlet perniagaannya.

Di negara ini, penjualan merchandise atau barang dagangan masih dalam kawalan longgar dan penguatkuasaan terhadap penjualan produk tanpa lesen serta pelbagai kualiti ini begitu berleluasa. Banyak pasukan atau kelab perlu lebih banyak belajar daripada JDT mengenai hal ini.

Penjualan pemain kepada kelab lain juga sumber pendapatan kelab bola sepak. Kelab kecil yang memiliki ramai pemain muda berbakat boleh menjana pendapatan dengan menjualnya kepada kelab lebih besar.

Sesetengahnya meletakkan pelbagai syarat ketat sehingga walaupun berlaku perpindahan pemain, kelab asal masih mendapat bayaran khusus ditetapkan.

Di negara ini, perpindahan pemain kerap berlaku terutama ketika jendela perpindahan dibuka, tetapi agak menghairankan ia bagaikan suatu kemestian yang berlaku walaupun kadangkala pemain berpindah atau ditamatkan kontraknya jauh lebih baik daripada baru dibawa masuk.

Setiap perpindahan pemain perlu terbuka dan adil kepada pemain serta tidak hanya menguntungkan pihak tertentu dan tidak menjana pendapatan kepada kelab.

Kelab memasuki pertandingan berbeza bakal mendapat jumlah wang tunai dan hadiah kemenangan berlainan. Empat pasukan teratas di EPL akan layak beraksi di Liga Juara-Juara Eropah, manakala pasukan pada kedudukan ke-5 dan ke-6 akan beraksi di Liga Eropah.

Semakin tinggi kedudukan kelab dalam liga atau pertandingan, semakin besar jumlah wang diperoleh.

Juara Liga Juara-juara Eropah bagi musim 2020 akan menerima 19 juta euro (RM94.3 juta), manakala naib juara 15 juta euro (RM74.4 juta).

Inilah keuntungan diperoleh kelab utama di Eropah termasuk Bundesliga, Serie A dan La Liga. Model perniagaan ini memudahkan pelabur membuat perhitungan jika berminat membeli atau berkongsi pemilikan. Namun, struktur ini belum berlaku dalam Liga Malaysia yang mungkin mengambil masa panjang untuk membentuknya.

Mungkin ini antara faktor membuatkan iklan penawaran kepada syarikat korporat atau jutawan agak kurang mendapat sambutan.

Kita terpaksa menunggu jika ada hartawan atau dermawan berminat membuat 'kebajikan' untuk projek penswastaan ini.

Tinggal sebulan lagi tempoh untuk proses penswastaan daripada FA kepada FC, iaitu pada 30 September ini. Ternyata amaran keras Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada beberapa pasukan terutama yang masih belum berbuat apa-apa memberikan gambaran awal pasukan terbabit bakal disingkirkan ke liga bawahan.

Ia sesuatu yang amat malang, terutama pasukan yang berkerja keras sehingga berjaya sampai ke tahap layak beraksi pada liga bola sepak tertinggi di negara ini sama ada Liga Super atau Liga Perdana.

Ternyata pasukan ini perlu bergerak pantas walaupun tempoh ini seperti akan adanya grace period atau waktu kecederaan yang mungkin diberikan kerana tiupan wisel hanya datangnya daripada pengadil utama, iaitu FAM.

Penulis adalah Ketua Unit Sukan di Kementerian Pengajian Tinggi