--> Skip to main content

Belanda kekal rentak tanpa Koeman

LONDON: Steven Bergwijn memastikan Belanda tidak merasakan kehilangan pengendalinya Ronald Koeman dengan membantu negaranya menewaskan Poland 1-0 dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA.

Koeman meninggalkan Belanda untuk mengambil alih Barcelona bulan lalu, kurang setahun sebelum dia sepatutnya membimbing negaranya di kejohanan besar antarabangsa buat pertama kali.

Belanda mara ke final edisi sulung Liga Negara-Negara di bawah kendalian Koeman dan Bergwijn antara bakat muda selain Frenkie De Jong dan Matthijs de Ligt yang akan menerajui pasukan itu pada Kejohanan Eropah tahun depan.

Pemain sayap Tottenham itu meledak gol antarabangsa pertamanya untuk memberikan permulaan sempurna buat pengendali sementara Dwight Lodeweges.

Aksi Kumpulan 1 Liga A turut menyaksikan Itali diikat Bosnia dan Herzegovina 1-1.

Keputusan lain menyaksikan Ireland Utara seri 1-1 di Romania, dan Norway tewas 2-1 kepada Austria di Oslo.

Dalam Liga C, Kazakhstan menewaskan Lithuania 2-0, manakala Albania menang 2-0 di Belarus.

- AFP