--> Skip to main content

Bekas atlet angkat berat terima bantuan

KUALA LUMPUR: Bekas atlet angkat berat Selangor yang pernah mewakili negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 1989, Darus Abdullah mampu 'tersenyum' apabila menerima kunjungan daripada kerajaan negeri Selangor menerusi Program Ceria Atlet Selangor 2020 yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Dalam kunjungan ke rumahnya di Batu 12, Gombak hari ini, kerajaan negeri bersetuju membaikpulih keadaan dan juga stuktur rumah secara berperingkat dan untuk tahun ini, kediaman Darus sejak 1984 itu bakal diperbaiki bermula dengan bahagian dapur dan bilik air selain menerima bantuan peralatan rumah.

Inisiatif kerajaan negeri bersama YAKEB ini bakal memanfaatkan bekas atlet Selangor yang sudah mengharumkan nama negeri dan negara dengan permulaan, seramai 50 individu daripada 250 permohonan bakal dibantu menerusi program ini dari semasa ke semasa.

"Program ini dilancarkan beberapa hari lalu yang disebut sebagai Ceria Atlet Selangor dan ia pertama kali dibuat di negeri Selangor," kata EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan dan Pembangunan Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman ketika melawat kediaman Darus, semalam.

"Kita melihat kepada kebajikan atlet kita. Berdasarkan laporan YAKEB, ada 2,500 ahli... 850 adalah daripada Selangor dan pernah berjasa kepada negeri. Program ini melalui proses saringan yang dibuat YAKEB dan kami mengenalpassti ada 250 atlet yang memerlukan bantuan.

"Salah satunya adalah Darus yang juga bekas atlet angkat berat Sukan SEA 1989. Jadi hari ini (semalam), kami hadir dalam program simbolik ini untuk melihat apakah keperluan yang diperlukan beliau.

"Kami bersetuju untuk membaikpulih bahagian dapur dan juga struktur rumah ini. Ini bermula tahun depan. Tahun ini kita bagi kemudahan seperti bilik air dulu. Program ini akan diteruskan pada masa akan datang dan harap dapat memberi semangat kepada atlet kita. Kerajaan negeri tidak akan tinggalkan mereka yang sudah berjasa kepada Selangor."

Pada majlis pelancaran program Khamis lalu, kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM195,350 untuk membantu meringankan beban atlet Selangor termasuk atlet Kelainan Upaya dengan setiap bantuan itu berdasarkan keperluan penerima.

Sementara itu, Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berharap program dilakukan kerajaan Selangor ini dapat dijadikan contoh kepada negeri lain dalam usaha membantu meringkankan bekas atlet yang sudah berbakti kepada negeri dan juga negara.

"Kami begitu berharap sekiranya boleh, negeri lain turut mengikut langkah dilakukan ini bagi membantu atlet. Mereka sudah mengharumkan nama negeri dan selepas itu mengharumkan nama negara. Jadi daripada peringkat negeri, mereka mestilah menerima satu imbuhan atau kebaikan untuk jasa disumbangkan," kata Noorul.