--> Skip to main content

Bapa beri bayangan Messi tinggalkan Barcelona

BARCELONA: Bapa dan ejen Lionel Messi, Jorge mengakui 'sukar' bagi bintang itu terus kekal di Barcelona.

Jorge terbang ke Barcelona dari Argentina untuk mengadakan perbincangan mengenai masa depan anaknya.

Messi, 33, minggu lalu mengejutkan bos Barca apabila meluahkan hasrat ingin berhijrah dan meninggalkan kelab itu selepas 16 musim.

Ketika memasuki pejabat kelab, Jorge mengakui kepada El Chiringuito TV bahawa kemungkinan besar anaknya akan meninggalkan kelab itu.

Messi kini terperangkap dalam perselisihan dengan gergasi Sepanyol itu selepas mendakwa bahawa klausa pelepasan dalam kontrak membolehkannya meninggalkan pasukan tanpa sebarang masalah.

Pegawai di Nou Camp percaya syarat itu berakhir pada 10 Jun dengan bintang Argentina itu memiliki kontrak hingga musim panas 2021.

LaLiga menyokong pasukan gergasi Catalan itu dengan menegaskan klausa pembelian 700 juta euro (RM3.4 bilion) Messi masih sah. - AGENSI