--> Skip to main content

BAM mahu BWF perketat SOP

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan Persatuan Badminton Badminton Denmark dapat memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) ketika penganjuran Kejohanan Piala Thomas/Uber 2020 yang akan berlangsung di Aarhus bermula 3 hingga 11 Oktober depan.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata langkah itu penting bagi memastikan tahap keselamatan pemain dan pegawai yang akan menyertai kejohanan berprestij itu susulan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum reda di seluruh dunia.

"Antara penjelasan yang kami mahukan adalah bagaimana pasukan kita akan ditempatkan di hotel dan daripada mana sumber makanan kami.

"Langkah pencegahan yang digunakan di Denmark sedikit berbeza dengan kita dan sebab itu kami berhubung dengan mereka mengenai perkara ini," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Mengulas mengenai penarikan diri Taiwan daripada menyertai kejohanan itu, Choong Hann, berkata keputusan itu tidak banyak memberi kesan kepada Malaysia.

"Bagi saya, kelebihan itu tidak banyak kepada kita dari segi pasukan kerana Denmark dan Jepun masih ada.

"Ketiadaan Taiwan tidak mengubah apa-apa, jadi kita perlu sedia untuk bertemu mana-mana negara," katanya.

Pada kempen kali ini, skuad Piala Thomas negara diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia, England dan Belanda manakala skuad Piala Uber dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Indonesia dan Australia.