--> Skip to main content

Ayam import tidak dijual di pasaran

KUALA LUMPUR: Ayam yang diimport digunakan bagi tujuan industri mengeluarkan produk ayam dan bukan untuk dijual di pasaran.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata kemasukan ayam import dibuat selepas mendapat kelulusan agensi bertanggungjawab, termasuk pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Kita mengimport ayam dari beberapa negara iaitu selepas mendapat pengiktirafan JAKIM manakala kemasukan ayam ini diproses untuk jadi produk ayam, bukan untuk dipasarkan.

"Selepas diproses, baru kita pasarkan sama ada di pasaran tempatan atau dieksport. Sekarang kita eksport (produk ayam ini) ke 38 negara," katanya menjawab soalan tambahan Senator Kamarudin Abdun pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Ahmad berkata, sebanyak 1.17 juta tan pengeluaran ayam negara direkodkan pada 2019, manakala penggunaan pasaran adalah 1.65 juta tan.

"Kita ada lebihan 500,000 tan sahaja yang mana sebahagian daripadanya adalah bagi kegunaan industri dan selebihnya kita eksport," katanya.

Menjawab soalan asal Kamarudin, Ahmad berkata, sebanyak 57 syarikat sudah diberi permit (AP) untuk pengimportan keratan ayam dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Sepanjang tempoh sama, katanya, ada AP keratan ayam yang dibatalkan berikutan tiada aktiviti dijalankan di loji pemprosesan.

"Bagaimanapun, pembatalan AP keratan ayam itu tidak membabitkan syarikat di Perlis," katanya.