--> Skip to main content

Arwah menantu dan pekerja yang baik

"KEPERIBADIAN arwah sangat baik, sebagai pegawai Jabatan Agama Islam negeri Johor dan menantu," kata Madzlan Abas, 73, iaitu bapa mertua kepada Mohd Fahami Abd Samad.

Mohd Fahami adalah Kadi Johor Bahru yang meninggal dunia dipercayai akibat lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin kira-kira 150km dari Kuantan, Pahang, tengahari semalam.

Madzlan berkata dia menerima perkhabaran duka itu daripada anaknya yang juga isteri allahyarham, Fauzi Norani, 42, ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru dari Batu Pahat.

"Kali terakhir saya berjumpa menantu pada Khamis lalu ketika menziarah cucu yang juga anak sulung arwah berusia 18 tahun yang mendapat panggilan ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk melanjutkan pelajaran.

"Keperibadian arwah memang seorang yang baik dan bertanggungjawab sebagai seorang menantu serta pegawai Jabatan Agama Islam negeri. Ia dapat dilihat hari ini apabila ramai saudara dan sahabat yang datang memberi perghormatan kepada allahyarham.

"Tiada tanda tentang pemergian, cuma saya Jumaat lalu selepas selesai solat Jumaat ada terpandang bilik mandi mayat di sebelah kiri, dan terdetik siapa yang akan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah di perkarangan Masjid Al-Jawahir, Taman Mutiara Rini, di Johor Bahru yang dihadiri lebih 1,000 jemaah yang terdiri dari ahli keluarga dan rakan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Tosrin Jarvanthi meyifatkan pemergian Mohd Fahami sebagai satu kehilangan besar.

"Pemergiannya memang kehilangan besar kepada negeri ini kerana sumbangan dan bakti dalam martabatkan syiar Islam cukup besar.

"15 tahun saya rapat dengan arwah sejak arwah menyandang jawatan jadi kadi daerah Kulai, memang terasa kehilangan. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang beriman," katanya.

Berita berkaitan

• Kadi Johor Bahru lemas di Pulau Tioman