--> Skip to main content

Arak tiruan bernilai RM1 juta dirampas

KLUANG: Lebih 9,000 botol arak tiruan bernilai RM1 juta menggunakan label berjenama dirampas di sebuah gudang lama, kawasan Perindustrian Wawasan berhampiran Kampung Batu 6, dekat sini, jam 1.50 petang tadi.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Dimin Awang, berkata anggota risikannya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun sedang memunggah kotak dipenuhi arak tiruan ke dalam sebuah kereta.

Katanya, kilang beroperasi empat bulan itu dipercayai memproses arak tiruan untuk dipasarkan di Johor Bharu dan kelab malam di sekitar Johor serta Melaka.

"Hasil serbuan sebanyak 321 kotak mengandungi 9,608 botol berisi arak selain 410 liter yang masih berada dalam tong tempat memproses serta sebuah kereta dirampas.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam kerana tidak membayar cukai dan suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk siasatan lanjut," katanya kepada media hari ini.

Siasatan awal mendapati tiga pekerja di pemprosesan mengisi dan melabelkan botol arak sebelum diedarkan untuk pasaran.

"Mereka menyasarkan warga asing kerana boleh dijual pada harga sangat murah iaitu antara RM20 hingga RM30 sebotol.

"Impak minum arak tiruan boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan risiko keracunan seperti yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.