--> Skip to main content

Anggota tentera diberkas, jadi tokan dadah

SEORANG anggota tentera berpangkat koperal antara lima individu ditahan polis kerana memiliki 30 kilogram ketulan mampat ganja.

Semua suspek diberkas polis hasil serbuan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya di sini, pada 27 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta termasuk anggota tentera berusia 32 tahun itu diberkas dalam kejadian jam 4.30 petang itu.

"Polis turut menemui dua kotak mengandungi 30 ketulan mampat dibalut plastik lutsinar disyaki ganja seberat 30 kilogram bernilai RM75,000.

"Turut ditahan adalah tiga lelaki yang menaiki sebuah lagi kereta. Polis percaya dua kumpulan itu mahu berjumpa untuk mengagihkan ganja berkenaan," katanya pada sidang media di IPK Selangor tadi.

Beliau berkata, empat lagi suspek yang ditahan berusia 24 hingga 27 tahun adalah rakan sekampung anggota tentera itu.

Katanya, hasil ujian saringan ujian air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine manakala anggota tentera dan seorang lagi rakannya negatif mengambil dadah.

"Kami percaya sindiket dadah ini sudah beroperasi selama enam bulan dan ganja berkenaan diperolehi dari Pantai Timur untuk pasaran di Lembah Klang.

"Ganja sejumlah 30 kg itu boleh dibekalkan kepada 60,000 penagih dalam satu hari," katanya.

Abdul Latiff berkata, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.