--> Skip to main content

Anggota tentera, 4 rakan sekampung ditahan bersama 30kg ganja

SHAH ALAM: Koperal tentera adalah antara lima individu yang ditahan bersama 30 kilogram ketulan mampat disyaki ganja dalam serbuan di tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di Kelana Jaya pada 27 Ogos lalu.

Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata serbuan pada 4.30 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

"Anggota tentera berusia 32 tahun ditahan bersama seorang lelaki dalam kereta yang turut mempunyai dua kotak mengandungi 30 ketulan mampat dibalut plastik lutsinar disyaki ganja seberat 30 kilogram bernilai RM75,000.

"Tiga lelaki ditahan dalam sebuah kereta lain. Kita percaya kumpulan ini mahu berjumpa untuk mengagihkan ganja berkenaan," katanya di IPK Selangor, hari ini.

Abdul Latif berkata, empat suspek yang ditahan berusia 24 hingga 27 tahun itu adalah rakan sekampung anggota tentera berkenaan.

Ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine, manakala anggota itu dan seorang rakannya negatif.

"Kita percaya sindiket dadah ini sudah beroperasi selama enam bulan dan ganja berkenaan diperoleh dari Pantai Timur untuk pasaran di Lembah Klang.

"Ganja dalam jumlah berkenaan boleh digunakan 60,000 penagih," katanya.

Semua suspek ditahan reman tujuh hari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.