--> Skip to main content

Aksi Ain Edruce cium pipi suami dikecam

KUALA LUMPUR: Niat pelakon dan pengacara, Ain Edruce memuat naik foto suami mencium pipi di Instagram sekadar berkongsi momen manis dan mengabadikan kenangan sempena hari jadinya, baru-baru ini.

Namun, tanpa diduga, foto yang memaparkan kemesraan mereka menjadi bualan hangat di laman Twitter.

Ain atau nama sebenarnya, Nurulain Edruce terkejut membaca komen netizen yang mengecamnya. Ini kerana kebanyakan warganet menyangka lelaki yang mengucup pipi adalah kekasihnya.

"Saya ada muat naik gambar suami mencium pipi ketika meraikan ulang tahun, baru-baru ini. Saya menulis kapsyen 'I have the best boyfriend ever' pada gambar berkenaan.

"Tak sangka ramai netizen mengecam dengan mengatakan saya tak tahu soal halal dan haram apabila berkongsi gambar mesra dengan teman lelaki.

"Saya pelik apabila membaca komen. Adakah mereka tidak tahu lelaki berkenaan adalah suami saya? Apabila ada netizen menjelaskan, ada pula yang mengecam tak perlu tunjuk kebahagiaan dalam laman sosial.

"Setahu saya, selama ini saya tidaklah kerap muat naik gambar bersama suami. Sesekali nak 'belanja' gambar mesra dengan suami pun boleh jadi isu," luah pelakon sitcom Jenaka Kampung Kalut (JKK) ini.

Tidak mahu terus mendera perasaan sendiri, pengacara tinggi lampai itu mengambil pendekatan untuk tidak membaca komen.

"Selalunya, kalau apa sahaja yang saya muat naik menjadi tular dan orang sudah mula memperkatakannya, saya tak akan layan. Saya elak baca komen. Buat apa nak baca benda yang boleh menyakitkan hati," tegas wanita berusia 29 tahun itu.

Bercerita kehidupannya selepas bergelar isteri, Ain berkata, dia teruja apabila dapat melakukan kerja rumah seperti wanita lain yang berumah tangga.

"Saya sibuk kerana terbabit banyak program seperti penggambaran drama dan pengacaraan, sejak bulan lalu. Selepas berkahwin, saya mahu fokus kepada dunia pengacaraan kerana tidak mahu berpisah lama dengan suami.

"Rasa rindu pula kalau asyik berjauhan. Apabila berada di rumah, dapat saya belajar serba sedikit menguruskan rumah tangga seperti membasuh dan cuci pinggan. Apa yang melucukan, apabila melihat saya kerap berada di rumah, suami jadi pelik dan bertanya apakah saya tidak bekerja?

Ain terkejut aksi dirinya mencium suami seperti foto dikongsi di IG mencetuskan kontroversi kerana ramai tidak tahu dia sudah berkahwin. Foto IG Ain Edruce Ain terkejut aksi dirinya mencium suami seperti foto dikongsi di IG mencetuskan kontroversi kerana ramai tidak tahu dia sudah berkahwin. Foto IG Ain Edruce

"Malah, suami suruh saya pergi bekerja. Terkejut juga apabila dia memberikan reaksi begitu. Kita beriya-iya mahu menjadi isteri mithali, tetapi sudahnya suami suruh pergi kerja," katanya.

Pengacara program realiti, Immortal Songs itu berkata, dia reda kerana suaminya, Amirul Hafiz Mustaffa bukanlah insan romantis.

"Sejak zaman bercinta lagi, suami bukanlah seorang lelaki yang romantik. Jangan harap nak dengar dia lafazkan kata-kata puitis. Dia hanya akan bercakap perkara yang logik sahaja.

"Ada kala sebagai wanita, saya hendak juga bermanja macam dalam drama Korea yang sering ditonton. Cuma, suami buat kejutan dengan memberikan saya sejambak bunga sempena ulang tahun kelahiran, baru-baru ini.

"Apapun, saya bersyukur walaupun suami kurang daripada segi itu, tetapi Amirul adalah lelaki yang sangat bertanggungjawab dan suka memasak. Sukar hendak cari lelaki sepertinya," katanya.