--> Skip to main content

AIPA41 akan berlangsung secara maya berikutan ancaman COVID-19

HANOI: Perhimpunan Agung Parlimen ASEAN (AIPA) ke-41 akan berlangsung secara maya pada 8 hingga 10 September ini.

Ketua Penganjur AIPA41, Nguyen Van Giau, berkata acara tiga hari itu akan mengumpulkan 10 delegasi dalam kalangan Ahli Parlimen AIPA, 12 delegasi pemerhati bersama Setiausaha Agung AIPA dan Sekretariat.

Katanya, Pengerusi Perhimpunan Kebangsaan Vietnam merangkap Presiden AIPA41, Nguyen Thi Kim Ngan, akan menyampaikan ucaptama pada mesyuarat berkenaan.

Bertema 'Diplomasi Parlimen untuk Komuniti ASEAN yang Padu dan Responsif', acara itu akan menampilkan mesyuarat Ahli Parlimen wanita bagi mempromosikan peranan golongan berkenaan dalam sektor pekerjaan dan pendapatan.

Mesyuarat tidak rasmi Ahli Parlimen belia dan perbincangan berhubung peranan Parlimen dalam mempromosikan pemulihan ekonomi ASEAN akibat pandemik COVID-19 juga akan berlangsung.

AIPA berperanan sebagai pusat komunikasi dan maklumat dalam kalangan Parlimen anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. - AGENSI