--> Skip to main content

Ahli perniagaan rugi RM250,000, ditipu jual beli bijih besi

KUANTAN: Hasrat seorang ahli perniagaan untuk membeli bijih besi tidak kesampaian malah kerugian RM250,000 selepas diperdaya seorang lelaki.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa berusia 53 tahun itu, mulanya ditawarkan membeli bijih besi berkenaan oleh seorang lelaki yang dikenali pada pertengahan 2013.

"Bijih besi berkenaan kononnya berada di Dungun, Terengganu. Mangsa yang percaya kemudian membuat pembayaran sebanyak RM250,000 kepada suspek," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas pembayaran diselesaikan berdasarkan perjanjian antara mereka, mangsa masih belum menerima bijih besi berkenaan.

"Mangsa juga mendapati bijih besi itu tidak wujud.

"Sehingga kini, mangsa tidak memperoleh wangnya. Mangsa cuba menghubungi suspek tetapi gagal sebelum membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam," katanya.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan jualan bijih besi yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan sejumlah wang.

"Kita sudah merakam percakapan mangsa dan sedang memburu suspek yang terbabit. Polis juga membuat semakan mengenai kesahihan perjanjian yang dibuat antara mangsa dan suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.