--> Skip to main content

6 pemandu bot pelancong warga asing ditahan Imigresen

BESUT: Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) yang bekerja sebagai pemandu bot pelancong ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen (Imigresen) di Pulau Perhentian, semalam.

Warga Bangladesh dan Nepal itu ditahan sepasukan 15 pegawai jabatan berkenaan yang menyamar sebagai pelancong dalam operasi bermula jam 8 pagi.

Pengarah Imigresen Terengganu, Ungku Joha Ungku Mohamad, berkata operasi di pulau peranginan itu dibuat berdasar maklumat unit risikan jabatan berkenaan.

Katanya, pihaknya menggunakan helah sebagai pelancong bagi mengelak kehadiran di pulau berkenaan dikesan.

"Ternyata taktik kami berjaya dan semua PATI terbabit ditahan sejurus bot yang dipandu mereka tiba di lokasi yang ditetapkan," katanya hari ini.

Katanya, empat warga Bangladesh dan dua Nepal berusia antara 25 dan 48 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Siasatan awal mendapati kesemua PATI terbabit mengaku menetap di pulau peranginan itu antara satu hingga sembilan tahun dan bekerja sebagai pemandu bot pelancong dengan gaji sebanyak RM1,200 sebulan," katanya.

Katanya, semua PATI terbabit dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Besut untuk ujian saringan COVID-19 sebelum dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Hulu Terengganu untuk siasatan lanjut.

Ungku Joha berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik bot terbabit bagi membantu siasatan dan jika sabit kesalahan pengusaha bot berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menggaji pekerja tanpa izin.

"Imigresen memandang serius isu kebanjiran PATI dan operasi akan dilakukan secara berkala bagi menahan warga asing yang tinggal secara haram di negeri ini," katanya.