--> Skip to main content

50 peratus bekalan air pulih tengah malam esok

Shah Alam: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yakin 50 peratus akaun pengguna air di Selangor akan pulih menjelang tengah malam esok.

Menerusi kenyataan di Facebook rasminya, Amirudin berkata, hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan.

"Alhamdulillah, anggaran Air Selangor menjelang tengah malam esok, 50 peratus akaun di seluruh negeri akan pulih.

"Hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan saat ini, supaya dalam tempoh pemulihan ini kesan gangguan air dapat diminimumkan," katanya.

Amirudin berkata, beliau membincangkan langkah jangka panjang untuk penyelesaian gangguan air bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan PDT Gombak.

"Selain daripada penyitaan oleh MPS serta tangkapan dilakukan PDRM, LUAS dengan kerjasama JAS akan turut meluaskan 'tracking' bauan ke Sungai Sembah.

"Ini bagi melengkapi usaha yang sudah dilakukan di 53 premis sekitar Sungai Gong bagi mendepani jangkaan masalah yang sama daripada berlaku di masa hadapan," katanya.