--> Skip to main content

50 peratus akaun seluruh Selangor pulih tengah malam esok

SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyasarkan bekalan air akan pulih kepada 50 peratus akaun pengguna di seluruh Selangor menjelang tengah malam esok.

"Alhamdulillah, anggaran Air Selangor menjelang tengah malam esok 50 peratus akaun di seluruh negeri akan pulih.

"Hospital dan pusat dialisis antara yang menjadi keutamaan saat ini supaya dalam tempoh pemulihan ini kesan gangguan air dapat diminimumkan," katanya menerusi Facebook selepas mempengerusikan mesyuarat pelaporan penuh situasi semasa isu pencemaran air dengan pelbagai agensi berkaitan, hari ini.

Amirudin berkata, beliau membincangkan langkah jangka masa panjang untuk menyelesaikan gangguan air bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak.

"Selain daripada penyitaan oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) serta tangkapan oleh PDRM, LUAS dengan kerjasama JAS akan turut meluaskan 'tracking' bau ke Sungai Sembah.

"Ini bagi melengkapi usaha yang sudah dilakukan di 53 premis sekitar Sungai Gong bagi mendepani jangkaan masalah yang sama daripada berlaku pada masa hadapan," katanya.