--> Skip to main content

5 pelajar perempuan mengalami histeria. Murid bagitahu cikgu apa dia nampak

KLUANG: Sesi pembelajaran dan pengajaran di sebuah sekolah menengah dekat sini disingkatkan selepas lima pelajar mengalami histeria pada jam 10 pagi tadi.

Menurut sumber, kejadian bermula selepas seorang pelajar perempuan Tingkatan Enam Bawah berkelakuan aneh dan mendiamkan diri ketika kelas sedang berjalan.

"Mulanya seorang pelajar meminta seorang guru lelaki yang sedang mengajar Bahasa Melayu melihat rakannya yang berkelakuan pelik kerana menundukkan muka ke meja.

"Guru terbabit kemudian mengarahkan pelajar bertenang dan membaca ayat suci al- Quran menyebabkan pelajar perempuan tadi mula menjerit dengan kuat.

"Akibat jeritan itu, dua pelajar perempuan lain di dalam kelas sama serta dua pelajar kelas berasingan menangis dan menjerit," katanya kepada BH, hari ini.

Menurut sumber itu lagi, akibat kejadian itu, kelas yang menempatkan pelajar Tingkatan Enam di tingkat empat dikosongkan dan sesi persekolahan ditamatkan pada jam 1.20 petang.

Difahamkan, kejadian histeria di sekolah berkenaan bukan pertama kali terjadi dan ia dikaitkan dengan kehadiran makhluk halus.

Melalui pendekatan psikoanalisis Sigmund Freud, apabila kita berada dalam keadaan 'terlampau' atau 'terlalu', sama ada terlampau gembira, suka, sedih, segala memori ini akan masuk dengan mudah dari minda sedar ke dalam minda separa sedar.

Memori ini akan muncul semula semasa kita berada dalam keadaan separa sedar seperti ketika tidur atau histeria.

Langkah awal boleh dilakukan jika guru berdepan pelajar hadapi gangguan

pertama; hendaklah tenang dan pasrahkan segalanya kepada ALLAH. Bila sudah tenang sedekahkan al-Fatihah kepada Nabi Muhammad SAW dan seterusnya kepada mangsa gangguan.

Tekan tapak tangan di perut dan pegang belakang tengkuk mangsa sambil membaca al-Fatihah dan 3 qul dengan perlahan dan tenang seterusnya tiup di ubunubun.

Ulang beberapa kali. Berdoa di dalam hati agar (sebut nama mangsa) diberikan kesembuhan. Buat dengan yakin bahawa ALLAH yang menyembuhkan. Panggil nama mangsa minta dia lawan gangguan dan jangan sesekali berbual dengan makhluk itu jika dia ajak berbual. Mudah-mudahan gangguannya jadi lemah. Selepas itu carilah perawat lebih mahir jika masih tidak sembuh.

Sekiranya pelajar itu sedar, berikan sedikit air minuman dicampur secubit garam. Cukup sekadar baca bismillah. Nasihat saya kepada guru-guru, agar sentiasa bersedia menghadapi perkara-perkara ini.

Perlu bersikap tenang dan jangan kelam kabut. Pasrahkan diri pada ALLAH di samping menjaga keselamatan mangsa. Tidak perlu membaca ayat-ayat al-Quran dengan suara keras seolah-olah bacaan kita itu akan mengeluarkan makhluk halus mengganggu seperti cerita-cerita hantu di televisyen.

Hanya ALLAH yang mampu menyembuhkan. Bukannya dari bacaan kita yang menyembuhkan. Berhati-hatilah dengan tipu daya dan fitnah Syaitan. Jangan sesekali kita semaikan rasa takut kepada gangguan itu kerana mereka juga makhluk ALLAH.

Sentiasa beri motivasi pada pelajar agar berserah kepada ALLAH setelah berusaha mengulang kaji pelajaran sebelum peperiksaan. Hilangkan kebimbangan dan rasa takut tidak boleh jawab peperiksaan dengan bertawakal serta berserah sepenuhnya kepada ALLAH.

Manakala untuk pelajar pula, jangan selalu bersendirian. Carilah kawan untuk berbicara, berbual dan berbincang. Tingkatkan amalan-amalan kerohanian dengan lebih berdisiplin terhadap perkara wajib di samping melakukan banyak perkara-perkara sunat.

Bila rohani kuat, emosi turut terpelihara. Jangan fikir mengenai keupayaan menjawab peperiksaan, setelah kita berusaha, serahkan segalanya kepada ALLAH.

Guru, Alwee Shamrin, 37, Johor Baharu