--> Skip to main content

417 kawasan pulih sepenuhnya kecuali KL, Kuala Langat

SEBANYAK 417 kawasan yang mengalami masalah gangguan bekalan air sudah pulih sepenuhnya sehingga jam 6.30 pagi tadi manakala 875 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini sudah pulih sepenuhnya.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah Hulu Selangor 94.12 peratus; Kuala Selangor (91.7%); Petaling (37.17%); Gombak (11.31%); Klang/Shah Alam (11.31%) manakala Kuala Langat dan Kuala Lumpur masih di kosong peratus.

"Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Elina berkata Air Selangor memohon kerjasama pelanggan yang sudah menerima bekalan supaya menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Katanya, Air Selangor juga menyediakan pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) bagi tujuan mendapatkan bekalan air bersih.

"Air Selangor akan terus memaklumkan status terkini kepada para pengguna dari semasa ke semasa menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.