--> Skip to main content

4 kluster aktif kes baharu

Kuala Lumpur: Empat kluster masih mencatatkan kes baharu jangkitan Covid-19 iaitu Kluster Benteng LD, Tawar, Telaga dan Bunga.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tujuh kes baharu dilaporkan daripada Kluster Benteng LD menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 14 kes.

"Hasil siasatan mendapati satu kes positif membabitkan seorang banduan di Penjara Tawau, Sabah (kes ke-9,351) yang dilaporkan pada 1 September berkait rapat dengan kluster itu.

"Beliau mempunyai sejarah dimasukkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu bagi perbicaraan sebutan kes yang didapati mempunyai kontak rapat dengan kedua-dua kes indeks kluster itu (kes ke-9,344 dan 9,345).

"Enam kes dikesan di Penjara Tawau iaitu empat daripadanya mempunyai sejarah ke IPD Lahad Datu dan mempunyai kontak rapat dengan kes indeks.

Mereka balik ke Penjara Tawau pada 28 Ogos dan seterusnya menjangkiti dua lagi banduan baharu di Penjara Tawau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, setakat ini seramai 336 individu disaring iaitu 14 individu positif, 123 individu negatif dan 199 individu masih menunggu keputusan.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat tiga kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di Kedah dengan dua daripadanya dikesan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran.

"Justeru, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster itu sebanyak 78 kes. Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 18,164 orang disaring di Kedah, Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Katanya, terdapat dua kes baharu dilaporkan bagi Kluster Bunga menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak enam kes manakala satu kes baharu bagi Kluster Telaga menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak tujuh kes.