--> Skip to main content

24 penumpang feri tak jadi ke Langkawi

Kangar: Dipercayai kerana kecewa selepas feri ke Pulau Langkawi terkandas selama lima jam pagi hari ini, seramai 24 penumpang feri membatalkan perjalanan mereka ke pulau peranginan itu.

Ia disahkan oleh jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Perlis selepas menerima maklumat berkenaan daripada pihak pengurusan feri.

Menurutnya, enam lagi penumpang memilih untuk ke pulau itu dengan menyewa bot khas.

"Laporan awal pihak pengurusan berhubung kejadian yang menimpa feri Langkawi 3 mendapati kejadian itu berlaku apabila tali feri terjatuh ke dalam air sebelum tersangkut pada 'propeller' feri ketika sedang keluar dari muara Kuala Perlis.

"Berhubung kejadian itu, sepasukan bot APMM ditugaskan bagi melakukan pemantauan di lokasi kejadian pada 9.15 pagi.

"Dua penyelam APMM bertindak menyelam ke dasar laut bagi memeriksa keadaan enjin feri sebelum 20 minit kemudiannya mereka naik ke permukaan bagi memaklumkan situasi dan tindakan yang diambil," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas mengenai situasi pemindahan penumpang di feri berkenaan yang mengambil masa agak lama, pihaknya memaklumkan keadaan air yang cetek memaksa feri berkenaan menunggu sehingga air pasang selain ingin mengurangkan risiko keselamatan ke atas penumpang.

"Bagaimanapun, pada 11.45 pagi tadi air mula pasang dan feri dapat ditunda oleh feri bantuan yang tiba dari Langkawi," katanya.

Pada 7.30 pagi tadi, penumpang feri berkenaan yang memulakan perjalanannya ke Pulau Langkawi hari ini terkandas di muara Kuala Perlis berikutan talinya tersangkut pada enjin disamping kipas enjin tersangkut pada dasar laut berikutan air cetek.

Keadaan terbabit menyebabkan 335 penumpang feri terkandas di perairan sebelum mereka dibantu oleh anggota keselamatan dan feri bantuan dari Pulau Langkawi.