--> Skip to main content

20 premis judi digeledah [METROTV]

Alor Setar: Polis menggeledah 20 premis di sekitar bandar raya ini yang didapati bergiat aktif menjalankan penjualan tambah nilai judi dalam talian di daerah ini menerusi Op Dadu.

Operasi dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Asisten Superintendan Noor Hazlie Md Yusoh bermula 11 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, sebanyak 20 waran geledah diluluskan oleh Mahkamah Alor Setar mengikut Seksyen 16 Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Tujuan utama penggeledahan ini bagi memastikan aktiviti ini dapat dibanteras dan dihapuskan sehingga habis-habisan.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menjalankan kegiatan ini dengan menjadikan premis mereka sebagai tempat menjual tambah nilai judi dalam talian," katanya hari ini.

Beliau berkata, ia menjadikan sebanyak 40 premis judi dalam talian yang digeledah setakat ini.

"Bermula 1 Januari hingga 31 Ogos lalu, sebanyak 134 serbuan dilakukan terhadap premis yang menjalankan kegiatan penjualan tambah nilai judi dalam talian di seluruh daerah ini.

"Daripada jumlah ini, ada premis yang pernah diserbu dua atau tiga kali namun didapati masih degil dan meneruskan kegiatan ini secara bersembunyi," katanya.

ANGGOTA dan pegawai polis cuba membuka pintu sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat jualan tambahan nilai judi dalam talian. FOTO Zuliaty Zulkifli. ANGGOTA dan pegawai polis cuba membuka pintu sebuah premis yang dipercayai dijadikan pusat jualan tambahan nilai judi dalam talian. FOTO Zuliaty Zulkifli.

Noor Azman berkata, antara tindakan yang adalah memotong bekalan elektrik untuk mengelak premis berkenaan aktif kembali.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 48 premis sudah dipotong bekalan elektrik dengan bantuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Noor Azman berkata, pihaknya akan memberikan notis pemberitahuan kepada pemilik premis berhubung perkara itu.

Beliau berkata, tindakan juga akan diambil terhadap pemilik premis sekiranya membenarkan penyewa menjalankan kegiatan itu.

"Kes boleh disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJB) 1953 atau Seksyen 4(B)(a) akta sama.

"Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 dan penjara tidak lebih dari tiga tahun," katanya.

Noor Azman berkata, operasi berakhir jam 4 petang tadi dan barangan yang disita dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.