--> Skip to main content

16 terbunuh dalam letupan gas di masjid Bangladesh

DHAKA: Sekurang-kurangnya 16 terbunuh dan puluhan lagi parah dalam tragedi letupan gas di sebuah masjid di Bangladesh semalam.

Kejadian di daerah tengah Narayanganj itu berlaku ketika jemaah berada di masjid berkenaan untuk solat Jumaat.

Ketua Balai Bomba Narayanganj, Abddulah Al Arefin, berkata pasukan penyiasat mengesyaki kejadian berpunca akibat percikan api daripada penyaman udara ketika peralatan itu dimatikan.

"Siasatan awal mendapati berlaku kebocoran gas . Apabila mereka menutup semua pintu serta tingkap dan kemudian mematikan alat penyaman udara, berlaku percikan api menyebabkan letupan berlaku dari dalam masjid," katanya.

Jurucakap hospital, Samanta Lal Sen, berkata semua 16 mangsa yang terkorban adalah antara 37 orang yang dihantar ke hospital pakar di Dhaka.

"Baki 21 mangsa yang dihantar di hospital ini masih kritikal, menderita luka terbakar pada tahap 70 hingga 80 peratus," katanya.

Polis memaklumkan sekurang-kurangnya 45 orang cedera akibat letupan itu dan difahamkan beberapa saksi mendakwa terhidu bau gas sebelum kejadian berlaku. - AFP