--> Skip to main content

16 September hari kelahiran Sandra. Ibu terkilan arwah tak tahu hal sebenar – “Semuanya terlambat

TANGGAL 16 September sepatutnya menjadi hari ulang tahun kelahiran ke-26 Allahyarham Sandra Dianne yang meninggal dunia pada 11 September lalu.

Namun apakan daya apabila tarikh itu menjadi hari paling sayu buat ibunya, Nur Syakinah Abdullah yang masih bersedih dengan pemergian anaknya.

Syakinah mengakui perit melalui hari tersebut dengan kerinduan yang sukar untuk digambarkan.

Malah, dia turut menyifatkan sepanjang hayat Allahyarham seorang anak yang baik dan sentiasa mendahulukan perasaannya.

Tambahnya lagi, penyanyi lagu Hey Kau itu juga seorang yang pemurah dan tidak boleh melihat kesusahan yang dilalui orang lain.

"Tiada kata-kata yang dapat mama gambarkan, perasaan kehilangan mama pada hari ulang tahun kelahiran kakak. Sakitnya meratapi kehilangan, peritnya menahan sebak di dada teringatkan kakak, pedihnya kerinduan ini.

"Kakak anak mama yang taat, sering mendahulukan perasaan mama. Kakak takut jika melukakan perasaan mama meskipun kakak tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Kakak seorang yang pemurah dan sering luluh hati melihat orang lain susah. Kalau jumpa orang jual keropok kering kakak akan berhenti untuk beli sekalipun kakak tak perlu… alasan sebab kasihan. Mungkin hari tu belum ada orang yang beli jualannya… setelah kakak beli, kakak akan sedekahkan pula pada orang lain," ujarnya.

Sandra terlibat kemalangan pada 5 September lalu.

Syakinah menulis coretan di Facebook sempena ulang tahun Sandra yang ke-26 pada Rabu, 16 September.

Katanya, pihak keluarga sempat mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham di kediamannya pada Rabu.

Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi.

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia pada 11 September lalu selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Allahyarham mengalami kegagalan fungsi otak akibat kemalangan jalan raya pada 5 September lalu.

Sandra ketika itu dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan rancangan Big Stage 2020 terbitan Astro.

Jenazah Sandra dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kaulan, Tuaran Sabah.

Keluarga Allahyarham mengadakan majlis tahlil pada Rabu.

Sementara itu, Syakinah gembira ramai peminat dan rakan-rakan Allahyarham yang menunjukkan rasa kasih sayang terhadap arwah.

"Sungguh pun kakak sudah tiada hari ini, kasih sayang mereka (peminat dan rakan-rakan) buat kakak semakin hari semakin subur.

"Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi. Betapa ramai yang menyayangi kakak, kerana selama hidup kakak, kakak sering merasakan diri kakak tidak disayangi,

"Mama sedih dan kesal kerana semuanya sudah terlambat, namun mama tetap bersyukur sekurang-kurangnya mama tahu anak mama di sayangi dan ramai juga yang mendoakan kakak" ujarnya

Ibu Sandra Dianne Dedah Apa Sebenarnya Berlaku Pada Anaknya Di ICU Selepas Kemalangan

Ibu penyanyi Allahyarham Sandra Dianne, Nur Syakinah Abdullah, 46, mendedahkan apa sebenarnya yang berlaku kepada anaknya ketika ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Putrajaya, sebelum meninggal dunia, pagi semalam.

Menurut Nur Syakinah, dia melihat Sandra menggerakkan kedua-dua tangan seperti sedang cuba untuk bangkit daripada koma.

"Pada dua insiden iaitu Ahad dan Selasa lalu, Sandra dilihat menggerakkan kedua-dua tangan seolah-olah berusaha untuk sedar daripada koma.

"Namun, selepas dua kejadian ini, tidak ada maklum balas diberi Sandra," katanya kepada portal BH Online.

Menceritakan kisah sewaktu hari kemalangan berlaku, Nur Syakinah berkata, Sandra kelihatan bersemangat ketika melangkah keluar dari rumah bersama sepupunya, Jessica R James Majanah, 21, yang juga bertindak sebagai pembantunya di Big Stage 2020.

Malah Nur Syakinah sempat menerima ciuman terakhir daripada arwah anaknya itu.

"Selepas mandi dan bersiap, Sandra meluangkan masa bermain dengan adik tirinya.

"Setiap kali sebelum keluar dari rumah, Sandra mencium tangan saya. Namun, saya tidak sangka, itu adalah ciuman terakhir daripada anak saya," katanya.

Menyedari arwah kelihatan murung selepas kegagalan persembahan konsert lalu, Nur Syakinah bagaimanapun memberitahu, arwah dilimpahi kata-kata semangat daripada pihak keluarga termasuk rakan-rakannya.

"Sandra sepatutnya memakai baju panjang berwarna kelabu yang saya simpan sejak tahun lalu ketika mendendangkan lagu Nuri nyanyian Ella pada pertandingan itu," katanya.

Dalam pada itu, Nur Syakinah berharap agar telefon bimbit Sandra yang hilang dapat dikembalikan semula oleh mana-mana pihak yang menjumpainya.

Menurutnya, gajet itu terkandung banyak gambar kenangan untuk disimpan.

Pemilik nama penuh Alessandra Dianne Ampuria, 26, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan, Tuaran, jam 5.45 petang tadi.