--> Skip to main content

Zuraida dakwa Guan Eng luluskan dua projek RT bawah KPKT

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, mendakwa dua projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diluluskan secara rundingan terus (RT) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dikendalikan sendiri bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Zuraida dalam kenyataannya, hari ini mendakwa Guan Eng bertanggungjawab terhadap kedua-dua projek terbabit.

"Projek dimaksudkan ialah Projek Sisa Pepejal Taman Beringin bernilai RM170,294,400 dan Sistem Perisian Perakaunan Century (RM501,206.37).

"Saya dengan ini mengesahkan bahawa rundingan terus berkenaan telah dijalankan oleh mantan Menteri Kewangan sendiri, Lim Guan Eng," katanya.

Zuraida mendakwa, pemimpin PH cuba memutarbelitkan fakta dengan menuduh rundingan terus projek sisa pepejal Taman Beringin dimulakan oleh kementeriannya.

"Penasihat Syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghaffar, yang juga penyokong tegar PH mewakili syarikat itu untuk bertemu dengan mantan Menteri Kewangan pada 28 November 2018.

"Pada pertemuan inilah, Guan Eng bukan sahaja membincangkan rundingan semula projek ini, malah bersetuju untuk mengurangkan kos tipping fee 10 peratus lebih rendah daripada kos asal, kononnya sebagai penjimatan untuk kerajaan," katanya.

Beliau berkata, Guan Eng kemudian menasihati Bumi Segar Indah untuk menghubungi KPKT bagi membentangkan kertas cadangan formal.

"Projek berkenaan diluluskan Kementerian Kewangan di bawah Guan Eng dengan surat bertarikh 20 Februari 2019 dari Kementerian Kewangan kepada Ketua Setiausaha KPKT," katanya.

Zuraidah menegaskan, projek perisian Century yang membabitkan lima kementerian lain turut diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

"Saya berharap, pada masa hadapan, pemimpin PH dapat membuat sedikit penyelidikan mengenai fakta sebelum mengelirukan orang awam," katanya.

Kelmarin, Kementerian Kewangan mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang ditawarkan secara rundingan terus ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Daripada jumlah itu, dua projek KPKT membabitkan jumlah RM170.79 juta.