--> Skip to main content

Wee Sing kuasai Perlumbaan 1 Siri Kejuaraan Malaysia di Sepang

SEPANG: Pemenang Perlumbaan 1 Kelas T-Production (TP) Siri Kejuaraan Malaysia (MCS), Lai Wee Sing menjangkakan saingan sukar bakal dihadapinya untuk Perlumbaan 2 esok selepas dikenakan penalti 15 saat.

Pada Perlumbaan 1 hari ini, pemandu pasukan R Engineering HMRT yang menggunakan jentera Civic FC 1.5 itu menemui garisan penamat dengan catatan keseluruhan 1 jam 1 minit 12.292 saat manakala Akid Azlee (Sitty Racing) berada di tempat kedua, 1:01;13.072s.

Melengkapkan podium adalah pemandu BHP Racing Team, Mohd Fikri Rahim, dengan 1:01;16.088s.

"Tentunya saya gembira. Ini adalah kali pertama kereta ini berlumba, sebuah kereta baharu. Mekanik sudah berusaha sebaik mungkin sejak tahun lalu dan kita berjaya melakukannya," kata Wee Sing ketika ditemui media selepas perlumbaan, di sini, hari ini.

"Saya mula merasai keyakinan untuk memenangi Perlumbaan 1 ini ketika lima pusingan terakhir. Saya dapat lihat ada kereta dikenakan penalti dan saya pula boleh melakukan catatan masa yang konsisten.

"Apapun, untuk perlumbaan esok, saya menjangkakan sukar kerana kami dikenakan penalti 15 saat. Saya akan cuba yang terbaik tetapi 15 saat itu banyak. Kita lihat apakah yang boleh dilakukan mekanik untuk esok."

Sementara itu, pasukan 23 Motors yang diwakili Al-Farouk Mustaffa dan Sim Kwong Tech memenangi kelas M-Production (MTC) dengan catatan keseluruhan 1:02;48.953s sekali gus mengharapkan sentuhan itu dapat dikekalkan pada Perlumbaan 2 esok.

Al-Farouk berkata, kemenangan berganda tentunya bakal memberi 'kemanisan' buat pasukan apatah lagi perlumbaan yang berlangsung ini dalam minggu Hari Kemerdekaan.

"Kalau semuanya okey, kereta okey, kami akan memberikan yang terbaik sebab ini adalah perlumbaan Merdeka Race (bersempena bulan Kemerdekaan)... tentunya sesuatu yang bermakna," kata Al-Farouk.

Perlumbaan Merdeka Race 2020 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) ini, merangkumi dua perlumbaan berprestij empat roda tempatan iaitu MCS dan Malaysia Speed Festival (MSF).