--> Skip to main content

Wanita maut kereta dirempuh bas ekspres

WANITA maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di simpang tiga Kilometer 12, Jalan Bentong-Raub dekat Bentong, hari ini.

Dalam kejadian pada 4.30 petang, mangsa Samsuna Jamaludin, 58, yang memandu Proton Persona meninggal dunia lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusof Unis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Mempaga ke Lurah Bilut.

"Kereta dipandu mangsa dipercayai keluar dari simpang Mempaga secara mengejut mengakibatkan pemandu bas tidak sempat mengelak lalu terlanggar di bahagian kanan kenderaan itu.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah," katanya.

Menurutnya, pemandu bas bersama 11 penumpang tidak mengalami kecederaan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.