--> Skip to main content

“Wanita Bekerjaya & Berduit, Tak Senang Melalui Perkahwinan”

Hampir setahun mengambil masa untuk proses perceraian, Noor Nabila akui lega apabila segalanya berjaya diselesaikan dengan baik. Nabila berkata dia kini mahu memberi tumpuan pada diri sendiri dan anak tunggalnya.

BACA: "Ada Yang Mengharapkan Kami Kembali Bersama…"

"Selepas sah bercerai pada 9 Julai lalu, bermulalah fasa baharu saya sebagai ibu tunggal. Saya merasakan proses perceraian terlalu lama, jadi apabila berjaya diselesaikan, rasa sangat lega, Alhamdulillah.

"Proses perceraian mengambil masa hampir setahun, ia bukan mudah. Saya masih memegang status isteri, tetapi tidak duduk sebumbung dengan suami, jadi keluar pun tidak mendapat keizinan, tentunya tidak manis.

"Sekarang bermulalah kehidupan baharu, saya mahu menyayangi diri sendiri terlebih dahulu. Dalam perkahwinan, saya selalu meletakkan diri di belakang, jadi sekarang saya utamakan kebahagiaan diri," katanya kepada BH Online.

Mengulas mengenai apa yang terjadi sepanjang perkahwinannya itu, Nabila berkata, setiap perkahwinan memerlukan pasangan suami isteri yang saling berusaha jika mahukan perkahwinan berkekalan. dan bukan hanya satu pihak sahaja.

Tidak serik mahu berumah tangga dan terbuka untuk berkahwin lagi sekiranya ada jodoh, bagaimanapun Nabila berkata dia enggan mengulangi kesilapan yang sama. Ujarnya lagi, bukan mudah untuk melalui perkahwinan sebagai wanita yang bekerjaya.

"Saya sentiasa berpesan jangan ulangi kesilapan yang pernah saya lakukan. Sebagai wanita bekerjaya dan berduit, tak senang melalui perkahwinan.

"Apabila bekerjaya dan berduit, cara menguruskan perkahwinan sudah jadi lain. Contohnya, kita tak boleh buat sesuatu sesuka hati kerana bimbang suami akan terasa.

"Kita tak boleh bertindak tanpa berfikir sebab setiap apa yang dilakukan memberi kesan pada suami. Walaupun mampu, suami tetap perlu diutamakan. Kena jaga hati suami," katanya.