--> Skip to main content

Video Hari Kebangsaan NSTP tampilkan Dr Noor Hisham

VIDEO Hari Kebangsaan terbitan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) kali ini berbeza daripada sebelum ini apabila turut menampilkan personaliti yang amat dikenali, bukan sahaja dalam negara, malah peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang amat dikenali kerana sumbangan beliau menangani penularan wabak Covid-19, tampil dengan memberi pesanan berhubung semangat keprihatinan warga Malaysia, khususnya ketika negara dilanda wabak yang kini sudah berlarutan lebih enam bulan.

Baru-baru ini, beliau menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM), yang membawa gelaran Tan Sri dan dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 2020.

Video durasi 2.48 minit, yang bertemakan Malaysia Prihatin itu diterbitkan oleh pasukan produksi jabatan Konvergen, Komersial dan Multimedia NSTP.

Diarahkan oleh Fairus Anuar, video itu juga menampilkan kakitangan daripada beberapa jabatan di NSTP sebagai pelakon.

Video berkenaan mempamerkan sikap prihatin dan perpaduan pelbagai kaum di Malaysia, yang saling membantu antara satu sama lain.

Video disiarkan dalam semua platform digital dan media sosial NSTP, iaitu Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times sempena sambutan Bulan Kebangsaan, yang sedang berlangsung sehingga 16 September depan.