--> Skip to main content

Untung bersih suku kedua Maybank susut 51.5 peratus

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank), bank terbesar negara dari segi aset, mencatat keuntungan bersih RM941.73 juta pada suku kedua berakhir Jun 2020, susut 51.5 peratus berbanding RM1.94 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia diraih berdasarkan pendapatan pada suku dikaji yang berkurangan kepada RM11.79 bilion daripada RM13.05 bilion sebelum ini.

Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu, menyifatkan prestasi kewangan itu adalah susulan kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengurangan kadar faedah yang membabitkan sebahagian besar pasaran serantau akibat COVID-19.

Mengulas prestasi bagi suku dikaji, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Farid Alias, berkata keputusan kewangan itu hanya memaparkan apa yang telah dilalui oleh bank itu seperti PKP yang perlu dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan COVID-19, dasar susulan mengenai kadar faedah serta pendekatan proaktif membabitkan moratorium.

"Tempoh itu telah memberi kami peluang untuk melakukan penyelarasan sewajarnya agar dapat produktif semula dalam keadaan kini yang dikenali sebagai kebiasaan baharu.

"Selepas selesai, kami dapat menumpukan usaha untuk membantu pelanggan yang terjejas akibat pandemik itu bagi meneruskan operasi perniagaan serta kehidupan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2020 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusinya, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Untuk setengah tahun berakhir 30 Jun 2020, Maybank mencatatkan pendapatan RM25.013 bilion berbanding RM26.03 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Bagi keuntungn bersih untuk tempoh dikaji, kumpulan perbankan itu merekodkan RM2.991 bilion daripada RM3.75 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata strategi Maybank dalam mengekalkan paras mudah tunai dan modal yang tinggi terbukti banyak membantu bank itu, malah akan terus mempertahankan lembaran imbangan lebih kukuh bagi memastikannya berupaya merebut peluang perniagaan apabila keadaan pulih semula.

Beliau menjangkakan pertumbuhan pinjaman pada separuh kedua tahun ini akan terus berkembang sama seperti separuh pertama lalu.

Abdul Farid, berkata malahan, Maybank mencatat pertumbuhan pinjaman 4.4 peratus, lebih baik daripada industri, 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Katanya, pihaknya menyaksikan permintaan untuk pinjaman di bahagian runcit adalah konsisten biarpun sebelum COVID-19 melanda.

"Pada tahun lalu, pertumbuhan pinjaman memperlahan sedikit, tetapi ia masih agak konsisten. Bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman untuk sektor bukan runcit telah memperlahan disebabkan oleh apa yang kami panggil, kitaran pelaburan dalam perdagangan global.

"Permintaan perdagangan global perlu benar-benar kukuh bagi menggalakkan perniagaan untuk mulakan pelaburan dalam infrastruktur mereka, dan kami tidak nampak ia akan berlaku," katanya.