--> Skip to main content

Untung bersih Public Bank RM1 bilion, susut 25 peratus

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Public Bank Bhd susut kepada RM1 bilion pada suku kedua yang berakhir pada 30 Jun 2020, daripada RM1.33 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata pendapatan turun kepada RM4.73 bilion daripada RM5.59 bilion sebelumnya.

Pendapatan asas sesaham jatuh kepada 25.81 sen daripada 34.34 sen sebelumnya.

Bagi tempoh separuh pertama 2020, Public Bank mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.33 bilion berbanding RM2.74 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019.

"Keuntungan bersih yang dapat diagihkan kepada pemegang saham susut sebanyak 15.0 peratus kepada RM2.33 billon," kata Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihatnya, Tan Sri Teh Hong Piow dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penurunan keuntungan itu disebabkan oleh kerugian pengubahsuaian bersih sekali yang berjumlah RM498 juta dalam suku kedua 2020, berikutan langkah-langkah bantuan COVID-19 yang ditawarkan kepada individu dan perniagaan.

Ia mencerminkan komitmen dan sumbangan kumpulan dalam menyokong dan membantu pelanggannya menangani kesukaran kewangan semasa tempoh mencabar ini.

Beliau berkata, pada separuh pertama 2020, kumpulan terus mencatatkan pengembangan pinjaman meskipun pada kadar lebih sederhana.

Pinjaman domestik kumpulan meningkat pada kadar tahunan 2.6 peratus.

Mengenai prospek masa depan, beliau berkata ia akan terus menumpukan kepada strategi pertumbuhan organiknya dalam runcit dan perbankan komersial.

– BERNAMA