--> Skip to main content

Untung bersih Genting Plantations naik kepada RM22.64 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Genting Plantations Bhd (GenP) meningkat kepada RM22.64 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 daripada RM20.74 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2019.

Pendapatan turut bertambah kepada RM544.32 juta berbanding RM525.74 juta sebelumnya, selepas disokong oleh harga produk sawit yang lebih tinggi walaupun dibayangi oleh kejatuhan dalam jualan segmen hartanah serta pengeluaran hiliran.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata harga minyak sawit mentah (MSM) pada suku kedua 2020 dan separuh pertama 2020 mencecah RM2,325 satu tan dan RM2,465 satu tan.

Harga isirong sawit pada suku kedua 2020 dan separuh pertama 2020, masing-masing adalah sebanyak RM1,295 satu tan dan RM1,439 satu tan.

Sementara itu, pengeluaran buah tandan segar (FFB) pada separuh pertama 2020 merosot dari tahun ke tahun berikutan kesan daripada keadaan cuaca kering pada tahun sebelumnya sehingga menyebabkan hasil tanaman terjejas.

Melangkah ke hadapan, GenP berkata ia akan menjejaki prestasi segmen perladangan utama, yang pada dasarnya bergantung kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran BTS kumpulan bagi baki tahun.

"Kumpulan menjangkakan harga produk sawit akan dipengaruhi terutamanya oleh faktor seperti permintaan dan pembekalan dinamik minyak sawit serta minyak gantian dan lemak, keadaan ekonomi global termasuk pelaksanaan mandat biodiesel yang lebih tinggi oleh Indonesia dan Malaysia.

"Faktor ini bergantung kepada kesan daripada pandemik COVID-19. Tanpa mengambil kira sebarang anomali cuaca, kumpulan meramalkan pengeluaran BTS akan meningkat dalam separuh kedua 2020, disokong oleh pemulihan dalam output tanaman daripada kesan kemarau pada tahun sebelum ini," katanya lagi.

GenP menjangkakan bahawa pengeluaran untuk 2020 adalah sama dengan tahap yang dicapai pada 2019.

Lembaga Pengarah Kumpulan telah mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 6.0 sen sesaham biasa.

– Bernama