--> Skip to main content

Untung bersih CIMB RM277 juta, susut 81.66 peratus

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM277 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2020, menyusut 81.66 peratus berbanding RM1.51 bilion pada suku sama tahun lalu.

Pendapatan bank kedua terbesar negara dari segi aset itu bagi suku dikaji adalah sebanyak RM3.865 bilion, menurun berbanding RM4.468 bilion pada suku sama sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Abdul Rahman Ahmad, berkata kemerosotan prestasi kewangannya itu adalah di dalam jangkaan dan sebahagian besarnya disumbangkan oleh impak pandemik COVID-19.

Katanya, keuntungan yang lebih rendah adalah disebabkan terutamanya oleh tiga faktor antaranya perolehan operasi yang lebih rendah iaitu 7.3 peratus kepada RM8 bilion.

"Ia adalah disebabkan modifikasi kerugian akibat moratorium yang diberikan kepada peminjam dan pengurangan dalam pendapatan faedah bersih (NII) disebabkan fi lebih rendah dan hasil perdagangan.

"Di sebalik cabaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh COVID-19, saya ingin tekankan bahawa operasi perniagaan Kumpulan CIMB kekal berdaya tahan.

"Dalam konteks ini, kami dengan sukacitanya ingin melaporkan jumlah pinjaman kasar dan deposit kumpulan meningkat masing-masing kepada 3.9 peratus dan 7.8 peratus," katanya pada sidang media maya mengumumkan prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2020 kumpulan itu di sini, hari ini.

Bagi prestasi separuh pertama tahun ini, CIMB merekodkan keuntungan bersih RM785 juta, menurun daripada RM2.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya bagi tempoh dikaji adalah RM8.01 bilion, menurun berbanding RM8.63 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut Abdul Rahman menjangkakan unjuran ekonomi bagi jangka pendek kekal mencabar.

"Menyedari cabaran baharu yang dibawa oleh landskap ekonomi yang tidak menentu ini, kami akan mengkalibrasi semula rancangan Forward23 jangka pertengahan kami untuk memastikan kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pemulihan ekonomi.

"Kami akan berkongsi Pelan Strategik yang dikemas kini ini pada tidak lama lagi," katanya.

Ditanya mengenai kadar dasar semalaman (OPR), beliau tidak menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan lagi kadar berkenaan pada tahun ini.

"Kami menjangkakan persekitaran kadar faedah rendah akan berterusan sehingga akhir tahun ini. Jangkaan kami ialah OPR akan dikekalkan biarpun terdapat kemungkinan untuk berlaku satu lagi pusingan potongan," katanya.

Abdul Rahman turut mengumumkan tiada pemberian dividen interim untuk separuh pertama tahun ini kepada pemegang sahamnya.

ends/