--> Skip to main content

UMNO Sabah harus berganding bahu bersama parti sekutu

KOTA KINABALU: UMNO Sabah harus berganding bahu dengan parti sekutu bagi memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung bulan hadapan ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika ditanya pemberita mengenai hubungan antara UMNO Sabah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, berkata pihaknya mengakui mereka tiada pilihan lain selain bekerjasama.

"Adakah kita mempunyai pilihan lain? Kita harus berjalan bersama-sama. Untuk menang kita harus bergerak bersama-sama.

"Perundingan mengenai pengagihan kerusi masih sedang berjalan dan ini agak sukar.

"Setiap parti politik dan pembangkang merasakan mereka boleh memenangi kawasan yang ditandingi, semua orang rasa mereka boleh menang, ia satu petanda baik tetapi sekarang agak sukar untuk menentukan siapa yang menduduki sesebuah kerusi.

"Memang sukar. Walau bagaimanapun, kita harus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasinya," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perjumpaan Bersama Pimpinan Masyarakat di Negeri Sabah bertempat Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Selain itu, Bung Moktar turut berkata, perundingan mengenai agihan kerusi dijangka akan dimuktamadkan dalam tempoh singkat.

"Saya berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dalam tempoh sehari dua ini," katanya.

Ketika ditanya pemberita mengenai logo yang bakal digunakan ketika PRN nanti, beliau memberitahu pihaknya akan tetap menggunakan logo BN.

"Kita akan guna logo BN. UMNO bukan anggota PN. Kami tidak kisah selagi kami tidak bertanding sesama sendiri.

"Mengenai calon Ketua Menteri pula, bagi saya adalah lebih penting untuk memenangi PRN ini terlebih dahulu," katanya.